Daerahku Sejahtera: Tahniah Bang Cop (SU MKKS)


Mini karnival catat kejayaan tersendiri

SUNGAI LIMAU – Mini Karnival Kedah Sejahtera yang berlangsung selama dua hari di Simpang Tiga Sungai Limau Luar berakhir semalam dengan pelbagai aktiviti menarik selain sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Majlis penutupan disempurnakan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar. Pada malam berkenaan juga turut diadakan forum perdana yang mengupas isu Masyarakat Berkualiti.

Setiausaha Bersama Program Mini Karnival Kedah Sejahtera, Yusof Saad, berkata, walaupun karnival seumpama itu kali pertama dianjurkan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Kita mendapat sokongan daripada masyarakat setempat terhadap semua aktiviti dan acara yang dianjurkan. Ia sesuatu yang menggembirakan apabila semua pihak menggembleng tenaga bagi menjayakan karnival ini.

“Kemungkinan karnival ini akan menjadi acara tahunan di sini memandangkan kepada sambutan yang diberi. Selain acara yang dipertandingkan, kita juga adakan pameran daripada agensi untuk pihak jabatan berkenaan ketengahkan,” katanya kepada Sinar Harian.



Pengerusi acara pertandingan dan hadiah mini karnival, Ramli Ahmad berkata, semua acara yang dipertandingkan mendapat sambutan daripada penduduk terutamanya acara layang-layang bebas.

Difahamkan peserta yang menyertai acara layang-layang bebas mencecah 166 orang setelah pihak penganjur terpaksa menutup penyertaan kerana tidak mempunyai masa yang cukup.

Ketua pengadil pertandingan layang-layang berkenaan, Md Rodzi Chek Awang, 49, berkata, acara itu diadili dengan melihat wau yang boleh naik paling tinggi.

“Kami mempunyai 10 pengadil yang menjaga setiap cabang wau. Ramai peserta yang mahu menyertai acara ini tetapi kami terpaksa menutup penyertaan kerana tidak mempunyai masa yang cukup,” katanya.

Selain itu, pertandingan gendang silat gayong kuntau jawa dan tomoi juga memeriahkan suasana dengan penyertaan beberapa pasukan dari sekitar daerah Yan.

Ramli berkata, pertandingan memancing ikan pada kali ini amat menarik kerana pemenang tempat pertama mendapat 95 ekor ikan dalam tempoh dua jam berbanding pemenang kedua yang hanya berjaya mendapat 44 ekor.

“Saya sendiri berasa terkejut dengan jumlah ikan yang diperolehnya, begitu berbeza jaraknya dengan pemenang kedua. Apapun tahniah atas kemenangan itu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.