SEKTOR AWAM DIKUASAI WANITA

Oleh Syuhada Choo Abdullah



KUALA LUMPUR: Cuepacs semalam meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam semakin meningkat sekarang.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Contohnya, kata beliau kepada Bernama, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi oleh wanita.

Ahmad Shah berkata, perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita.

Ketika dihubungi Berita Harian pula, Ahmad Shah mendakwa nisbah kakitangan awam wanita meningkat dengan ketara sejak awal 2000, malah sudah mencecah 70 peratus dalam bidang tertentu seperti perguruan dan peningkatan itu turut berlaku dalam kumpulan sokongan.

Beliau berkata, antara faktor utama menyumbang kepada senario itu ialah sistem pengambilan kakitangan awam berasaskan pemprograman komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik sehingga menyebabkan kebanyakan calon lelaki tersingkir pada saringan pertama lagi.

"Fenomena ini menggusarkan kerana ia boleh mengakibatkan kepincangan sistem penyampaian kerajaan dalam jangka panjang. Ini berikutan fitrah wanita yang mempunyai kekangan tersendiri, seperti mengambil cuti panjang selama berbulan-bulan selepas bersalin.

"Apabila wanita terbabit memegang kuasa pada peringkat pembuat keputusan, maka banyak keputusan penting akan tertangguh sehingga menyebabkan pelaksnaaan pelbagai urusan tergendala," katanya.

Ahmad Shah menegaskan, isu berkenaan dibangkitkan bukan atas faktor diskriminasi gender, malah Cuepacs tidak mempertikaikan keupayaan atau kebolehan wanita, tetapi bersandarkan kebimbangan kesan fenomena sedemikian untuk jangka panjang.

Katanya, Cuepacs menerima aduan daripada orang ramai yang mengakui lebih selesa berurusan dengan penjawat lelaki kerana mereka lebih kreatif dan fleksibel, iaitu tidak terlalu terikat dengan kerenah birokrasi, sekali gus memudahkan penyelesaian suatu urusan atau masalah dengan lebih pantas.

"Dalam keadaan lain pula, sikap semula jadi wanita yang penyayang ada kala menjadi halangan kepada mereka untuk menyelesaikan masalah tertentu, khususnya pengetua wanita dalam menangani isu disiplin pelajar lelaki kerana tidak wujud perasaan `gerun' kepada mereka," katanya.

Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah berkenaan, beliau menyarankan sistem pengambilan penjawat awam diperbetulkan secara serius, iaitu tidak terikat kepada sistem komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik kerana ia hanya memihak kepada calon wanita yang memang tidak dinafikan tekun belajar.

"Merit kelulusan akademik tidak semestinya menentukan bahawa perkhidmatan mereka akan lebih baik berbanding penjawat lelaki.

"Sebaliknya, `sentuhan langsung' dengan panel penilai mesti diwujudkan dari peringkat saringan pertama lagi di mana pelbagai kriteria penting harus dititikberatkan seperti tahap kecerdasan minda, keupayaan menyelesaikan masalah, kebijaksaan membuat pertimbangan, tahap ketahanan mental dan keluasan pengetahuan am setiap calon," katanya.

Ambilan: Berita Harian

Hukuman Sebat Didakwa Menindas & Bercanggah


Seorang bekas pengurus bank mencabar hukuman sebat yang dikenakan terhadapnya bagi kesalahan pecah amanah dengan mendakwa hukuman itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana menindas kaum lelaki.

Azlan Alias, 49, yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu enam tahun lepas, meminta Mahkamah Rayuan menyemak semula kesnya berdasarkan hujah itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dianggotai Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah and Datuk Ahmad Maarop menetapkan 10 Mei bagi mendengar kes itu di hadapan panel hakim baru.

Perbicaraan kes ini ditangguh ke tarikh itu berikutan penarikan diri Ahmad, yang menganggotai panel hakim Mahkamah Rayuan, yang menolak rayuan Azlan terhadap sabitan dan hukuman penjara terhadapnya pada 26 Jun tahun lepas.

Alasan bagi permohonan semakan semula kes berkenaan terkandung dalam afidavit peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Azlan, dan dikepilkan bersama notis permohonan bagi semakan semula kes itu.

Hujah yang dikemukakan perayu ialah pelaksanaan hukuman sebat melanggar Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang memberi perlindungan terhadap warganegara daripada ditindas oleh mana-mana undang-undang berdasarkan gender.

Azlan berkata dia berhak mendapat perlindungan undang-undang sama seperti yang beri kepada wanita, melainkan Perlembagaan Persekutuan menyatakan sebaliknya.

Seksyen 289 Kanun Acara Jenayah melarang hukuman sebat dikenakan terhadap wanita.

Azlan meminta mahkamah mengetepikan hukuman sebat itu kerana mendakwa Seksyen 289 bercanggah dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, mahkamah bertanggungjawab memperbetulkan ketidakdilan yang wujud.

Bekas pengurus Bank Pertanian Malaysia Cawangan Machang itu dijatuhi hukuman penjara dan sebat setelah disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah melibatkan RM304,000 di bank berkenaan antara 6 Julai dan 9 Julai 1997.

Rayuan yang dikemukakannya kepada Mahkamah Tinggi Kota Bahru dan Mahkamah Rayuan, telah ditolak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

- Bernama

Mangsa kebakaran Terus Dibantu


SUNGAI LIMAU DALAM – Kejadian kebakaran yang melanda Pekan Sungai limau baru-baru ini memusnahkan banyak rumah hinggakan ada individu sekeluarga yang terpaksa menumpang di rumah saudara.

Mengenangkan kesusahan keluarga yang tinggal di kawasan sekitar kebakaran itu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan Sungai Limau Dalam menyampaikan sumbangan hasil kutipan ahli KRT dan penduduk setempat.

Difahamkan kutipan sumbangan itu bermula pada majlis perasmian Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diadakan baru-baru ini.

Pengerusi KRT, Abdul Razak Ghazali berkata, kutipan itu dijalankan atas dasar keprihatinan pihak KRT ke atas nasib yang menimpa penduduk Pekan Sungai Limau yang terlibat dalam kebakaran itu.

“Diharapkan dengan sumbangan ini, ia dapat membantu mereka yang terlibat bangun kembali atas kerugian yang dialami.

“Semua sumbangan ini adalah hasil kutipan penduduk dan ahli KRT yang prihatin terhadap penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebakaran Sungai Limau Dalam, Ooi Cheng Wah berkata, sumbangan yang diterima kini telah mencecah hampir RM60,000. Sumbangan itu diperoleh hasil keprihatinan orang ramai dan persatuan.

“Kita telah mengikut konsep 1Malaysia apabila semua orang tanpa mengira kaum tolong menolong membantu mangsa kebakaran ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, pada hari sama, seorang usahawan telah menyumbang sebanyak RM500 untuk membantu penduduk terlibat.

Usahawan, Khazali Yahya berkata, dia terpanggil untuk turut sama memberi sumbangan atas dasar keprihatinan dan mahu penduduk kembali membina kehidupan mereka.

“Semoga dengan bantuan dan sumbangan yang ada, mereka dapat merencana kembali kehidupan mereka,” katanya.

Ambilan: Sinar Harian

CINTA SEJATI: Contohilah.... Moga hingga akhir hayat

Nikah lepas hilang 9 jari

BALING: Seorang remaja yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selamat melangsungkan perkahwinannya semalam, walaupun kehilangan sembilan jari akibat dihempap mesin ketika bertugas di sebuah kilang pemprosesan cakera padat (CD) di Prai, Pulau Pinang, dua minggu lalu.

MESRA...Noranita menyuap nasi ke mulut Mohd Roszaimi selepas mereka diijab kabul, semalam. Mohd Roszaimi Md Rosdi, 18, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Noranita Othman,18, di rumah pengantin perempuan di Kampung Charok Bemban, Kupang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian 10 Februari lalu, Mohd Roszaimi putus sembilan jari akibat dihempap sebuah mesin ketika memunggah barang di kawasan berdekatan kira-kira jam 2.50 pagi.

Mohd Roszaimi ketika ditemui pada majlis perkahwinannya berkata, dia yang baru seminggu bekerja di kilang itu pada awalnya diarahkan membuat kerja ringan di bahagian depan kerana masih baru dan tidak tahu selok-belok termasuk penggunaan mesin di kilang berkenaan.

“Bagaimanapun, pada pagi kejadian saya diarahkan bekerja di bahagian mesin bagi menggantikan seorang rakan, apabila secara tiba-tiba ketika mengambil barang sebuah mesin jatuh dan menghempap kedua-dua tangan menyebabkan cedera teruk sebelum dihantar ke hospital.

“Selepas kejadian saya tidak sedarkan diri sehinggalah menyedari kehilangan sembilan jari di hospital. Pada mulanya saya sukar menerima kenyataan ini kerana kemalangan ini terjadi kurang dua minggu dari tarikh perkahwinan kami,” katanya.

Mohd Roszaimi, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Pegang (SMKKP) berkata, kemalangan itu menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.

“Lebih menyedihkan selepas ini saya perlu memikul tanggungjawab sebagai suami dan perlu mencari rezeki menyara keluarga,” katanya.

Sementara itu, isterinya Noranita Othman, berkata, kemalangan itu tidak menghalang mereka bersatu sebagai suami isteri dan menganggap kekurangan yang ada pada suaminya akan mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan mereka.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan tetap menerimanya sebagai suami serta berjanji menjaganya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Syed Mohd Abdul Ghani Syed Ali berkata, Mohd Roszaimi perlu mengisi borang untuk memohon mendapatkan kad orang kurang upaya (OKU) kerana dia tergolong dalam kelompok terbabit.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.