HOT!! MB Kedah Umum 413 Projek Bernilai RM33.46 Juta Ditawarkan Kepada Kontraktor



ALOR SETAR, 3 Jun -- Kerajaan Kedah mempelawa kontraktor kelas D1 untuk memohon projek-projek yang keseluruhannya bernilai lebih RM33.46 juta, yang ditawarkan menerusi pakej rangsangan ekonomi khusus untuk kumpulan itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata sebanyak 413 projek ditawarkan untuk kumpulan kontraktor yang sebelum ini dikenali sebagai kontraktor kelas F dan pemberian projek akan dibuat secara undian.

"Undian untuk kerja-kerja ini akan dibuat bermula 9 Jun dan kontraktor kelas D1 boleh mula mendaftar secara dalam talian di laman sesawang Pejabat Kewangan negeri bermula 12.01 tengah malam ini.

"Kerja-kerja ini akan dibuat secara undian dan bergantung kepada rezeki masing-masing, siapa akan dapat projek apa dengan nilai berapa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata nilai bagi setiap projek untuk kontraktor kelas D1 adalah antara RM20,000 hingga RM150,000 dan pelawaan itu terbuka untuk kontraktor yang berdaftar dengan pejabat daerah masing-masing.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata bagi meringankan beban guru-guru yang mengajar di sekolah persendirian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM1.23 juta bagi membantu mereka.

"Program bantuan sekolah persendirian melibatkan 4,146 guru yang pendapatan mereka bergantung kepada yuran pelajar, oleh kerana tiada sesi persekolahan, tiada yuran maka guru tiada gaji.

“Kerajaan negeri juga akan mempertimbang untuk menyalurkan bantuan berikutnya pada bulan akan datang jika sesi persekolahan masih tidak dapat berlangsung, ikut kemampuan kerajaan negeri, kerana mereka ini tidak boleh tukar kerja, kalau tukar, nanti buka sekolah siapa pula nak mengajar," katanya.

Katanya, sekolah persendirian dimohon supaya berdaftar dengan kerajaan bagi memudahkan proses seliaan serta penyaluran bantuan kepada pihak pengurusan sekolah.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) akan diteruskan pada tahun hadapan selepas fasa kedua program itu tamat Disember ini.

KIDA adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi membasmi kemiskinan di Kedah, dengan setiap penerima menerima RM250 sebulan untuk pembelian bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung di kedai terpilih.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi pasar malam atau pekan sehari di negeri ini.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.