Makan durian memang nikmat bagi pencinta durian. Baunya harum ibarat ‘minyak wangi’ bagi para penggemar ‘raja buah’ itu. Lebih-lebih lagi waktu sekarang ini sedang musim durian memuncak dan harganya juga lebih murah.
Namun ia juga boleh mendatangkan dilema dan rasa serba salah, jika sang suami atau isteri suka durian, tetapi pasangan mereka atau anak-anak mereka pula ‘benci’ bau durian. Mungkin nanti ada yang pasti akan terasa ‘pening’ atau bermasam muka dek kerana penangan baunya.
Baunya yang kuat juga boleh melekat di dalam kereta jika anda membelinya dari kedai untuk membawanya pulang. Apabila menikmatinya di rumah pula, satu rumah akan berbau durian termasuk peti ais jika anda menyimpan bakinya. Tak kira apa juga cara yang dipilih untuk menyimpan durian, dalam bekas kedap udara, beg Ziploc atau plastik cling wrap, kehadirannya tetap dapat di rasakan.
Kalau begitu, bagaimana untuk menghilangkan baunya dengan cara berkesan?
Dalam artikel ini, SedakaSejahtera ingin berkongsi 10 petua atau cara yang dapat membantu untuk menghilang dan meredakan bau Musang King dan durian-durian yang sewaktu dengannya!
1. GUNAKAN KOPI
Aromanya yang harum dan kuat dapat membantu menghapuskan pelbagai bau yang kurang menyenangkan termasuk durian. Selain meletakkan biji kopi di dalam bekas dan biarkan ia di atas meja, anda juga boleh bancuh secawan air kopi hangat dan letakkan di atas meja di dapur atau di ruang makan.
2. RAHSIA TANGKAI DURIAN
Jika anda beli durian tanpa menyuruh si penjual untuk mengopek kulitnya, pastikan untuk membawa pulang tangkainya sekali. Ia dapat membantu menangani baunya lebih-lebih lagi jika anda memandu pulang dan meletakkan durian di bahagian belakang kereta atau bonet. Gerenti baunya akan melekat.
Tapi, terdapat pelbagai petua dari orang lama untuk menghapuskan baunya yang kuat. Antaranya, patahkan tangkai durian dan belah sedikit di bahagian tengah. Selitkan tangkai pada jejaring hawa dingin di dalam kereta seperti anda meletakkan car freshener.
Anda juga boleh melakukan cara yang sama di rumah dengan meletakkan tangkai durian di alat hawa dingin. Wah! Petua unik ini mungkin jarang diketahui dan dilakukan ramai. Cubalah!
3. PAKAI ROTI
Jika masih terdapat bau durian di dalam kereta dan di rumah, cuba letakkan beberapa keping roti putih di atas meja dan biarkan beberapa hari. Roti dikatakan dapat menyerap bauan yang tidak enak di dalam sesebuah ruang.
4. CUCI DENGAN PANGSA DURIAN
Petua ini merupakan antara yang popular dan sering diamalkan ramai. Untuk menghilangkan bau durian pada tangan, ambil pangsa durian, letakkan air di dalam dan cuci tangan menggunakan air itu. Kemudian untuk menghapuskan baunya dengan lebih berkesan lagi, cuci tangan dengan menggunakan air lemon atau sabun aroma limau.
Selain itu, selepas makan durian jangan buang pangsanya. Simpan satu pangsa, isikan air dan gunakan ia untuk kumur kerana ia boleh hilangkan bau mulut. Ada juga yang akan minum air dari pangsanya kerana ia dikatakan dapat elakkan sakit tekak akibat terlalu banyak makan durian. Kedengarannya memang tidak saintifik, tetapi petua ini sudah bergenerasi diamalkan orang dan ada yang percaya ia mujarab.
5. DAUN PANDAN
Petua ini tidak asing bagi ramai. Daun pandan bukan saja dapat menghalau lipas di dalam kereta. Ia dipercayai dapat menghilangkan dan menangani pelbagai bau yang tidak disenangi termasuk durian.
6. CUCI DENGAN TIMUN
Selain mencuci tangan menggunakan air yang diisi di dalam pangsa durian, cubalah cuci tangan dengan menggunakan air dan hirisan timun. Mudah dilakukan dan dipercayai dapat menanggalkan bau durian yang degil di tangan. Selepas baunya pudar, cuci tangan dengan sabun pencuci tangan untuk menanggalkan baki baunya jika masih ada.
7. PENCUCI MULUT & MINUM LIMAU
Satu lagi cara untuk menghapuskan bau mulut selepas makan durian ialah dengan kumur mulut menggunakan cecair pencuci mulut. Ulang cara ini tiga kali atau lebih jika perlu. Kemudian ambil segelas minuman berperisa limau dan minum untuk kesegaran.
8. AIR KELAPA
Air kelapa dikenali sebagai minuman yang dapat meredakan panas dalam tubuh. Lantas, ia tepat dinikmati selepas makan durian. Air kelapa dapat membantu mengurangkan bau durian yang kuat apabila anda sedawa. Agar bau mulut tidak terjejas, selepas minuam air kelapa, jangan lupa untuk makan gula-gula pudina.
9. TEH HIJAU
Lebih banyak minum teh ini lebih bagus ia dapat bertindak untuk memberikan penghadaman yang baik dan sekaligus menghapuskan bau mulut. Seperti air kelapa ia juga dapat menghilangkan bau mulut dan meredakan suhu tubuh agar tidak rasa panas.
10. KUNYAH REMPAH
Aromanya harum. Rempah seperti biji ketumbar dan jintan halus boleh dikunyah begitu saja untuk membantu mengimbangi kehadiran minyak dan menghilangkan bau mulut yang kuat gara-gara durian.
0 comments:
Post a Comment