SHAH ALAM - Tindakan Mohd Khairuddin Othman, penyandang kerusi Dun Paya Jaras, keluar daripada Pas dan menyertai PKR sememangnya telah dijangka.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata tindakan Mohd Khairuddin sudah dapat dibaca oleh barisan kepimpinan parti berikutan tindakannya yang tidak hadir dalam banyak program anjuran parti berkenaan.
“Tindakan dia (Mohd Khairuddin) keluar (daripada Pas) tidak membawa apa-apa kesan kepada Pas, kami sudah pun mempunyai calon muda dan profesional untuk diletakkan bertanding di kawasan Dun Paya Jaras pada PRU14 nanti.
“Ahli Pas di sana telah bersedia berjuang untuk mempertahankan kerusi Dun ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam ceramah Pakatan Harapan di Sungai Buloh malam tadi, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Pas Selangor meninggalkan Pas dan menyertai PKR.
-Bernama
0 comments:
Post a Comment