Malaysia mengesahkan tiket ke pusingan akhir Kejohanan Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) di China, Januari
depan, selepas muncul juara Kumpulan H pada pusingan kelayakan di Bangkok,
malam ini,.
Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee layak secara automatik
selepas mengalahkan Mongolia 2-0 manakala pencabar terdekat, Thailand, hanya
mampu seri tanpa jaringan dengan Indonesia.
Malaysia menamatkan kempen kelayakan dengan menungguli kumpulan tersebut dengan enam mata diikuti Thailand dengan lima mata, Indonesia (empat) dan satu mata oleh Mongolia selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Juara daripada 10 kumpulan yang bersaing dalam kejohanan itu
layak secara automatik ke pusingan final bersama dengan lima pasukan naib juara
terbaik serta tuan rumah China pada pusingan akhir yang menampilkan 16 pasukan.
Malaysia, yang menghadapi pelbagai rintangan semasa persediaan
skuad negara, memulakan kempen dengan mengalahkan Indonesia 3-0 dan kalah
dengan Thailand dengan jaringan sama sebelum mengutip mata penuh ke atas
Mongolia.
Thailand, selaku pasukan pilihan kumpulan tersebut, menerima
kejutan pada perlawanan pembukaan apabila seri 1-1 dengan Mongolia sebelum
bangkit semula untuk mengalahkan Malaysia 3-0 dan mengutip satu mata apabila
seri 0-0 dengan Indonesia.
Kejayaan skuad Kim Swee mara ke pusingan akhir tahun depan
dicapai walau pasukan berhadapan dengan masalah persiapan dengan beberapa
pemain gagal melaporkan diri pada latihan pusat berikutan tidak mendapatkan
pelepasan pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia.
Barisan pemain negara hanya dikumpulkan kira-kira lima hari
sebelum hari pertandingan dan tiba di sini sehari sebelum perlawanan pertama
mereka.
Ia berlainan dengan skuad Indonesia yang berkumpul di Bangkok
kira-kira 10 hari sebelum perlawanan pertama mereka dan menjalani latihan pusat
berbulan-bulan sebelum itu.
Indonesia melengkapkan jadual dengan kalah 3-0 kepada Malaysia,
membelasah Mongolia 7-0 sebelum seri 0-0 dengan Thailand.
-Bernama
0 comments:
Post a Comment