PUTRAJAYA - Tan Sri Isa Samad bersetuju untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dengan rela hati, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi FGV baharu berkuat kuasa serta-merta.
Bagi menghargai Isa, beliau dilantik sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), juga berkuat kuasa serta-merta.

Najib berkata sebelum itu beliau telah menemui Isa dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala bagi membincangkan secara mendalam mengenai masa depan FGV dan peranan Isa.

"Isa dengan rela hati bersetuju melepaskan jawatan Pengerusi FGV.

"Untuk menghargai peranan Isa, saya bersetuju melantik beliau sebagai pemangku Pengerusi SPAD," katanya pada sidang media selepas menyerahkan kunci kepada pemilik-pemilik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Selasih, di sini hari ini.

Najib berkata tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses keadilan dan melalui Lembaga Siasatan FGV terhadap perkara yang telah berlaku kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad serta tiga individu lain yang telah diarahkan bercuti bemula 6 Jun lepas oleh Lembaga Pengarah FGV.

"Ini dikehendaki kerana ia merupakan prinsip tadbir urus syarikat senaraian awam. Siasatan bukan bererti mereka bersalah.

"Pihak Lembaga Pengarah (FGV) akan membuat keputusan adil sebaik mungkin," katanya.
Selain Zakaria, turut diarah bercuti ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim. 

- Bernama