Menurut Wong Cheng, audit yang dijalankan pada Mac 2016 ke atas
perbelanjaan di pejabat beliau di Kelana Jaya pada 2014 dan 2015, dibuat tanpa
pengetahuannya.
"Perbendaharaan Negeri Selangor tidak cuba beritahu kami,
melawat pejabat atau mendapatkan penjelasan daripada kakitangan saya.
"Audit itu dilakukan secara misteri dan tanpa melalui proses
yang adil dan sewajarnya," katanya dalam laman Facebook yang panjang hari
ini, sambil menambah beliau menerima laporan audit itu pada 2 Februari 2017.
Disebabkan perbelanjaan tahunan sebanyak RM250,000 untuk pengundi
di kawasannya perlu melalui proses melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah
Petaling, beliau berpendapat perbendaharaan negeri sepatutnya turut melawat
pejabat berkenaan.
Bagaimanapun, Wong berkata, apabila beliau bertemu Pegawai Daerah
dan pegawai kewangan di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, mereka tidak ingat
sebarang lawatan audit dibuat.
"Walaupun terus jadi misteri bagaimana audit dilakukan pada 1
Mac hingga 3 Mac 2016, ketidakpuasan saya dengan perbendaharaan negeri Selangor
pada dasarnya lebih kepada penemuan audit itu," kata beliau.
Walaupun tiada dakwaan amalan rasuah dalam penemuan audit
berkenaan, Wong Chen berkata, beliau berasa pejabatnya dinafikan hak untuk
mengetahui penemuan audit yang tidak mematuhi garis panduan Selangor.
"Malah, kami membantah semua penemuan audit yang pada pendapat
kami, ada yang tidak berasas dan ada yang boleh dijelaskan dengan mudah dengan
bertanya kakitangan saya dan meminta dokumen," katanya.
Antara enam penemuan audit yang menimbulkan tidak puas hati
kepadanya, salah satunya adalah tumpuan sebahagian besar bantuan kewangan yang
diberi kepada penduduk miskin di kawasan Desa Mentari.
Katanya, dapatan itu dengan mudah boleh dijelaskan kerana ramai
pengundi miskin di Kelana Jaya adalah dari kawasan Desa Mentari.
"Kenapa saya perlu beri bantuan kebajikan kepada orang yang
tinggal di pinggir bandar kelas pertengahan di Subang Jaya? Sama sekali tidak
ada garis panduan oleh kerajaan Selangor yang menyatakan kami tidak boleh beri
bantuan kebajikan berdasarkan zon geografi," katanya.
Satu lagi penemuan audit berkenaan adalah pejabat Wong Chen telah
memberi bantuan kewangan kepada 68 individu miskin yang sama pada tahun 2014
dan 2015.
"Penemuan ini mudah dijelaskan oleh fakta bahawa semua 68
individu miskin dan terdesak pada tahun 2014 itu kekal miskin dan terdesak pada
2015," kata Wong Chen.
Malaysiakini telah cuba menghubungi Perbendaharaan Negeri Selangor
tetapi tidak berjaya.
0 comments:
Post a Comment