SHAH ALAM – PKR setuju dengan pendekatan Menteri Besar Selangor,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengekalkan tiga wakil Pas dalam Exco Kerajaan
Negeri.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Biro
Politik PKR yakin terhadap kepimpinan Azmin untuk terus menerajui Kerajaan
Negeri dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan
rakyat Selangor.
Menurutnya, Azmin menjelaskan walaupun mereka bukan sebahagian dari
Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri Selangor dari Pas telah bersetuju untuk terus menyokong dasar
kerajaan negeri.
“Biro Politik PKR bersetuju dengan pendekatan Menteri Besar
Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU14 dan
meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar
rakyat pada PRU13,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PKR sebelum itu mengadakan mesyuarat Biro Politik untuk mendengar
taklimat dari Azmin berhubung isu keputusan Majlis Syura Ulamak Pas yang
membatalkan tahaluf siyasi di antara Pas dengan PKR.
INI KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PKR
Biro Politik KEADILAN malam ini telah mendengar taklimat dari YAB
Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan
Presiden KEADILAN, berhubung situasi di Negeri Selangor ekoran keputusan Majlis
Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi di antara PAS dengan KEADILAN.
Biro Politik KEADILAN mengambil maklum penjelasan yang diberikan
YAB Dato' Menteri Besar Selangor bahawa, walaupun mereka bukan sebahagian dari
Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri Selangor dari PAS telah bersetuju untuk terus menyokong dasar
bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga, dan meneruskan
keyakinan terhadap kepimpinan Dato' Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin
Ali.
Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan YAB Dato’
Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU
14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat
besar rakyat pada PRU 13.
Biro Politik KEADILAN yakin terhadap kepimpinan YAB Dato' Seri
Mohamed Azmin Ali untuk terus menerajui Kerajaan Negeri sebagai Dato' Menteri
Besar Selangor dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan
kesejahteraan rakyat Selangor.
YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
23 Mei 2017
0 comments:
Post a Comment