"PEMAIN datang
dan pergi, begitu juga jurulatih tetapi kecemerlangan pasukan perlu diteruskan
untuk penyokong yang setia bersama Kedah."
Itu komen bekas Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang
akhirnya dilepaskan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi memberi laluan
kepadanya menjawat jawatan penolong jurulatih skuad Harimau Malaysia.
"Tidak ada pemain yang kekal selamanya bersama dan begitu
juga jurulatih kerana apabila tiba masa untuk berpisah ia akan berlaku walaupun
keadaan ini memang menyedihkan setelah bersama begitu lama.
"Untuk saya bukan sahaja sebagai ketua jurulatih malah saya
telah beraksi bersama pasukan Kedah dan berjaya meraih kecemerlangan pada akhir
tahun 80-an dan 90-an. Sudah pasti perpisahan ini dirasai.
"Tetapi demi negara dan juga menambah pengalaman diri, saya
perlu menerima tugas sebagai penolong jurulatih pasukan Harimau Malaya.
"Setelah tiga tahun bersama pemain Kedah, saya juga amat
rapat dengan mereka dan berharap kejayaan yang diusahakan selama ini dapat
dituai pada malam ini dan perlawanan seterusnya.
"Pemain perlu yakin pada kemampuan sendiri dan beraksi
seperti yang telah mereka lakukan sejak awal musim ini bagi mencapai kejayaan,
dan saya yakin Nidzam Adha Yusof mampu melakukan yang terbaik kerana dia juga
sarat dengan pengalaman," katanya.
Cheng Hoe selain itu turut mengucapkan ribuan terima kasih
kepada kesemua pegawai pasukan khususnya pengurus Kedah, Datuk Jeffry Low Han
Chow yang memberi peluang melatih skuad tersebut pada 2015.
"Tidak lupa juga ribuan peminat setia pasukan Kedah yang
telah memberi sokongan kepada saya. Mereka adalah tulang belakang kepada
kekuatan pasukan selama ini dan mereka juga akan kekal bersama pasukan ini.
"Saya berdoa dan berharap barisan pemain, pegawai pasukan
dan juga ribuan peminat setia pasukan akan dapat menikmati kejayaan setelah
memulakan usaha mereka secara ikhlas demi kejayaan pasukan sejak tiga tahun
lalu," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment