Al-Fatihah: Tragedi Helikopter: Jenazah Pertama Ditemui Di Sg. Batang Lupar



Pasukan Bomba dan Penyelamat sebentar tadi mengesahkan satu jasad telah ditemui berhampiran serpihan pesawat di Sungai Batang Lupar pada jam 12 tengah hari tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata jasad seorang wanita ditemui berhampiran tapak nahas.

"Ya, jenazah wanita itu ditemui pada jam 12:00 tengahari tadi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau walau bagaimanapun tidak mengesahkan bahawa mayat ditemukan itu adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Namun, Noriah adalah penumpang wanita tunggal yang menaiki helikopter berkenaan semasa kejadian.

Sementara itu, Bernama memetik Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Nor Hisham Mohammad sebagai berkata jasad mangsa ditemui sekitar 15km dari jeti Sebuyau, berhampiran Sungai Batang Lupar.

Katanya, mayat itu akan diserahkan kepada polis di jeti Sebuyau.



Pada kejadian jam 5 petang semalam, helikopter sewa khas jenis Eurocopter AS350 Écureuil dengan nombor pendaftaran RP-C 6828, terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 4.32 petang.

Ini berlaku tidak lama selepas helikopter yang membawa rombongan kenamaan itu yang dalam perjalanan dari Betong ke Kuching berlepas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, Betong dengan lokasi terakhir dikesan di Triso, Sebuyau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang medianya, pagi tadi mengesahkan penumpang helikopter itu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya.

Turut menaiki helikopter tersebut ialah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga adalah ahli Parlimen Kuala Kangsar, KSU kementerian berkenaan Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri. Helikopter itu dipandu Kapten Rudolf Rex Raga.



"Setakat ini kita tidak boleh buat sebarang kesimpulan yang kita sudah kehilangan mereka," kata Najib pada sidang media pagi ini semasa ditanya oleh wartawan sekiranya ini bererti semua mereka sudah tiada lagi.

Perdana Menteri berkata semua aset yang berkaitan sudah diarah melancarkan operasi dan menyelamat "semaksimum mungkin" di sekitar kawasan berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.