KEDAH berjaya melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA selepas
mengikat Sabah 1-1 di Stadium Darulaman untuk menjadikan keputusan
agregat 3-2.
Dalam perlawanan yang dihadiri lebih 30,000 penyokong skuad Hijau Kuning
itu, Kedah berjaya menguasai permainan tetapi gagal melepasi pertahanan
Sabah yang turut cemerlang.
Pada minit ketujuh Ahmad Fakri Saarani perolehi peluang untuk
menjaringkan gol tetapi tendangan kencangnya terkena palang Sabah untuk
menghampakan penonton yang memenuhi stadium.
Namun begitu, kesebelasan Kedah yang diperkuatkan oleh pemain muda tetap
memburu gol penting untuk meletakkan pasukan mereka di depan.
Akhirnya Kedah perolehi sepakan penalti pada minit ke-22 apabila pemain
pertahanan Sabah, Igor Ccerina menggunakan tangan untuk menyelamatkan
bola dari kaki penyerang tuan rumah, Farhan Roslan.
Pemain import Kedah dari Brazil, Carlos Eduardo atau Kahe yang mengambil
sepakan penalti itu berjaya menjalankan tugas dengan baik apabila
menjaringkan gol pertama dalam perlawanan itu.
Tidak mengaku kalah dengan gol tersebut, pasukan pelawat kembali
mengatur serangan, namun berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan dan
penjaga gol.
Aksi pemain Kedah pada babak kedua kelihatan mula perlahan dan peluang itu digunakan sebaiknya oleh Sabah untuk memburu gol.
Hasilnya, sepakan sudut pada minit ke 59 yang diambil oleh Dedi
Kusnandar ditanduk Ummareng Back bagi menjaringkan gol penyamaan dan
melenyapkan sorakan peminat tuan rumah.
Pada akhir permainan pertukaran Kahe dan Farhan untuk memberi peluang
kepada Muhammad Syafiq Ahmad dan Sandro Da Da Silva berjaya menaikkan
semangat dan meningkatkan tempo permainan.
Malangnya, ketumpulan penyudah menjadi penyebab kepada anak didik Tan Cheng Hoe untuk meraih kemenangan.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga perlawanan tamat dan Kedah berjaya ke separuh akhir dengan agregat 3-2.
0 comments:
Post a Comment