KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan dakwaan tidak percaya sesetengah pihak mengenai telepersidangannya bersama bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis, Sirul Azhar adalah halangan untuk rakyat mengetahui kebenaran kes berkenaan.
Tegas Mahfuz, ia merupakan gangguan sekat talian yang dialaminya dan wartawan lain sejak sidang media dimulakan.
"Saya buat panggilan di hadapan lebih 10 wartawan yang masih menunggu di ibu pejabat PAS. Itu selepas berbelas-belas kali saya gagal menghubunginya semasa di hadapan media pada pagi Isnin.
"Saya dapat 'missed call' daripada Sirul, dia juga hairan kenapa saya tidak menghubunginya dan dia juga tidak dapat menghubunginya pada waktu yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mahfuz mengulas dakwaan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Noor Adam yang memintanya tidak terus menipu rakyat dengan mendakwa berjaya mengadakan telepersidangan dengan Sirul.
Kata Lokman, rakyat juga tidak seharusnya percaya dengan dakwaan telepersidangan itu kerana Sirul kini berada di dalam tahanan Imigresen.
Terdahulu, Mahfuz mencuba sebanyak 15 kali untuk menghubungi Sirul tetapi gagal.
Kata Mahfuz, pihaknya telah berhubung dengan individu yang diyakini sebagai Sirul itu melalui pesanan ringkas pada pukul 10.40 pagi Isnin.
Dalam pada itu jelas Mahfuz, tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menuduhnya menipu kerana rakaman panggilan itu sudah disiar sebuah portal pada petang Isnin.
"Semua yang ada pada masa itu menyuruh saya membuka pembesar suara di telefon bimbit itu untuk mendengar sendiri perbualan bersama Sirul.
"Jadi mereka yang ada mendengar sendiri malah ada portal yang merakam perbualan itu," katanya.
Ketika ditanya mengenai halangan yang bakal ditempuh, Mahfuz menjelaskan;
"Saya tidak pasti ada halangan atau apa-apa, atau bagaimana halangan sebegitu rupa.
"Kita tidak tahu apa angkara yang akan melanda tetapi jika talian telefon diganggu, jadi saya kena sentiasa bersedia."
Mahfuz dalam pada itu memberitahu akan mengumumkan tarikh untuk ke Australia untuk bertemu dengan Sirul.
"Saya akan melihat bagaimana situasinya dan bercakap dengan Australia mengenai proses perlindungan yang harus dibuat," katanya.
Rakaman berdurasi 3 minit 24 saat mengenai perbualan Mahfuz dan Sirul di sebuah portal hanya membincangkan perkara asas.
Sirul juga tidak mendedahkan siapa yang memberinya arahan selain mengucapkan terima kasih kepada rakyat negara ini yang selama ini menyatakan sokongan terhadapnya.
0 comments:
Post a Comment