Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, apa yang menjadi persoalan ketika ini adalah kenapa tempoh ujian itu mengambil masa yang lama.
“Kita tidak nampak ada unsur sabotaj. Bagaimanapun siasatan dalaman sedang dijalankan, termasuk kenal pasti kenapa ujian itu mengambil masa sehingga tiga bulan.
“Kita kecewa perkara itu didedahkan melalui saluran yang salah (iaitu laman sosial). Dalam siasatan, kita akan lihat semua sudut,” katanya selepas Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Kesihatan Antarabangsa 2014 semalam.
Dr Hilmi ditanya adakah kebocoran maklumat itu disebabkan ada pihak mahu menjatuhkan nama baik mana-mana pihak.
Sejak kelmarin, laman sosial heboh mengaitkan kes itu dengan tujuan menjatuhkan pihak tertentu apabila Felda Holdings Sdn Bhd antara syarikat yang disebut mempunyai pegangan saham dalam Cadbury.
Menurut Dr Hilmi, pada kebiasaannya sesuatu ujian itu hanya mengambil masa beberapa hari untuk mendapatkan pengesahan.
Pada 24 Mei lalu, kementerian itu mengesahkan terdapat DNA babi dalam dua produk coklat susu Cadbury, iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.
Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk tersebut sementara siasatan lanjut dijalankan.
Menurut laporan yang didedahkan di laman sosial, ujian ke atas dua produk itu dibuat pada 27 Februari lalu.
Mengulas mengenai perkara itu, Dr Hilmi berkata pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan laporan tersebut di laman sosial.
“Satu kesilapan telah dibuat oleh pegawai kita sendiri. Kalau didapati bersalah dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), kita akan ambil tindakan terhadap pegawai berkenaan.
“Sepatutnya tidak berlaku (penyebaran laporan itu). Kalau ikut prosedur, jika kita kenal pasti ada perkara yang tidak kena dalam ujian yang dilakukan ke atas mana-mana produk, kita akan lakukan ujian kali kedua (untuk pengesahan). Bagaimanapun, sebelum ujian itu dibuat perkara tersebut sudah didedahkan,” katanya.
Menurut Dr Hilmi, sudah menjadi rutin normal bagi kementerian untuk melakukan ujian ke atas produk makanan yang ada di pasaran bagi memastikan ia selamat.
“Hampir 1,000 produk makanan yang ada di pasaran diuji setiap bulan bagi memastikan kandungan yang ada itu menepati kandungan yang dimaklumkan dan tidak membahayakan pengguna. Kita juga mempunyai 15 makmal di seluruh negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan, selepas ini apa-apa isu halal akan diserahkan kepada Jakim dan meminta agar orang ramai yakin pada keputusan yang dibuat badan itu.
Katanya, pihaknya tidak mempunyai akreditasi untuk menentukan status halal sesuatu produk, sebaliknya sekadar memastikan kandungan makanan itu bebas daripada racun atau tidak.
“Orang ramai boleh percaya (berlandaskan) keputusan yang dibuat Jakim, kerana mereka yang ada kuasa untuk menentukan halal atau haram,” katanya.
Bagaimanapun, kelmarin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan produk coklat Cadbury tersebut tidak mengandungi DNA babi selepas keputusan terbaru makmal Jabatan Kimia Malaysia diperoleh.
0 comments:
Post a Comment