Dyana mengulas kenyataan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mengatakan dia ‘amat kesian’ kepada peguam berusia 27 tahun itu yang sanggup ‘membiarkan dirinya diperalatkan oleh DAP’.
"Saya gembira kerana memilih untuk menyertai DAP pada tahun 2011. "
"Kerana jika saya memilih UMNO dan bersama Shahrizat, saya tidak akan berada di kedudukan saya hari ini, mensasarkan harapan ke Parlimen – menjadi wakil kepada pengundi di Teluk Intan dan sekiranya diberi mandat, menjadi Ahli Parlimen paling muda di Parlimen,” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Dyana berkata pencalonannya tidak harus diperkecilkan. Sebaliknya, ia harus dipuji kerana ia melambangkan satu kejayaan untuk wanita muda dalam politik.
"Kenyataan Shahrizat bahawa pencalonan saya hanya satu ‘persembahan’ oleh DAP menunjukkan kegagalan Wanita UMNO sendiri dalam menggalakkan ahlinya untuk meneraju jawatan kepimpinan dalam parti dan kerajaan."
Dyana menambah bahawa sikap negatif kepimpinan wanita Barisan Nasional (BN) adalah antara sebab wanita kurang diberi peluang untuk memimpin negara.
Pengumuman Dyana sebagai calon DAP mencetuskan perbualan hangat kerana beliau seorang wanita Melayu muda tetapi bertanding di kerusi yang secara tradisinya diwakili calon berbangsa Cina.
Di samping itu, ibunya Yammy Samat merupakan ahli UMNO sejak berusia 18 tahun dan telah lama aktif berpolitik di bahagian Wanita UMNO Perak.
Dyana, yang berasal dari Ipoh, merupakan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang.
Beliau diumumkan sebagai calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan yang akan berlangsung pada 31 Mei depan.
Dyana bakal berdepan cabaran Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, yang pernah memenangi kerusi tersebut selama dua penggal.
Sekiranya menang, Dyana Sofya akan jadi ahli parlimen Melayu ketiga DAP dalam penggal Parlimen ini selepas Zairil Khir Johari (Bayan Baru) dan Ariff Sabri Abdul Aziz (Raub).
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 setahun yang lalu, calon DAP, Seah Leong Peng mengalahkan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.
Seah meninggal dunia pada pada 1 Mei lalu.
0 comments:
Post a Comment