Fuhhh Memalukan!!! Apa Sebenarnya Berlaku Di PRK Bukit Gelugor? MCA Ambil Keputusan Tak Mahu Bertanding... Jom Terjah!!!


GEORGETOWN - MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gelugor, 25 Mei ini, kerana mahu memberi tumpuan kepada isu hudud.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat tergempar Majlis Presiden di Ipoh, Perak, hari ini.

Menurutnya parti itu mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap krisis Perlembagaan yang dicetuskan oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud.
"MCA perlu berusaha secara sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti melindungi Perlembagaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat MCA negeri di sini.Beliau berharap orang ramai dan penyokong parti akan memahami bahawa parti itu perlu membuat keputusan yang tepat dalam masa yang kritikal.

Turut hadir pengerusi MCA negeri Datin Paduka Chew Mei Fun dan barisan kepimpinan MCA negeri.

PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas.Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas, mendiang Karpal Singh menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 42,706 undi.

Ong berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menerima keputusan parti itu selepas berbincang serta mendengar pendapat pimpinan tertinggi dan akar umbi parti itu.

Ditanya sama ada keputusan itu mendapat persetujuan akar umbi, Ong berkata terdapat pelbagai pandangan daripada mereka, bagaimanapun kebanyakan anggota parti mahukan MCA memperkukuh kedudukan parti selain memberi fokus kepada persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau berkata walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu, MCA akan terus berkhidmat kepada rakyat terutamanya pengundi di kawasan Parlimen Bukit Gelugor bagi memastikan isu-isu berbangkit mendapat perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Chew berkata Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang berpendapat pelaksanaan hukum hudud oleh PAS bakal mencetuskan krisis Perlembagaan.

Beliau berkata MCA negeri akan menumpukan segala tenaga dan masa untuk menangani krisis itu dan parti itu juga akan mengadakan lebih banyak dialog dan usaha untuk mengekalkan integriti Perlembagaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Isnin ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei ini.Dalam pada itu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata semua pihak harus menerima keputusan MCA itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman pula berkata Umno Pulau Pinang yakin dan percaya kepimpinan MCA telah mengkaji segala aspek dengan teliti sebelum membuat keputusan itu.

"Umno Pulau Pinang berpandangan adalah prerogatif MCA untuk memutuskan mengenai kerusi Bukit Gelugor, dan sedia menyokong sebarang keputusan parti-parti rakan dalam BN, sama ada bertanding atau tidak kerana kerusi Bukit Gelugor diperuntukkan kepada MCA," katanya dalam satu kenyataan.


"Umno Pulau Pinang percaya MCA tidak mengabaikan atau ditinggalkan penyokong mereka di Bukit Gelugor dengan tidak bertanding kerana kepimpinan MCA sudahberjanji akan meneruskan khidmat kepada masyarakat di Bukit Gelugor," katanya. 

-bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.