Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sah mencabar isteri beliau Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk merebut jawatan presiden parti itu.
Ini merupakan percubaan pertama ketua pembangkang itu bertanding jawatan yang disandang Wan Azizah sejak penubuhan parti itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Johari Abdul turut mengumumkan Tian Chua dan Elizabeth Wong menarik diri dari persaingan jawatan timbalan dan naib presiden PKR.
Dalam sidang medianya pagi ini, Johari berkata selepas pencalonan peringkat pusat ditutup semalam, kebanyakan calon masih mengekalkan pencalonan mereka.
Bagaimanapun persaingan timbalan presiden kini hanya tinggal empat sahaja selepas Tian dan bekas ketua cabang PKR Puchong Murali Subramaniam menarik diri semalam.
Sementara itu, persaingan bagi jawatan naib presiden pula, seramai 15 pemimpin masih bertanding selepas hanya Wong menarik diri.
Manakala, persaingan bagi jawatan Ketua Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula tiada sebarang penarikan diri.
"Mereka yang menarik diri sebelum hari ini dikembalikan bayarannya. Selepas ini boleh menarik diri tetapi jika selepas JPP keluarkan gambar dan nama semua undi yang diterima calon itu dikira undi rosak," kata Johari dalam sidang media hari ini.
Johari yang juga ahli parlimen Sungai Petani turut mengumumkan JPP akan mengadakan satu lagi sidang media pada 15 April depan bagi kedudukan terbaru.
Pengundian parti akan bermula 26 April ini sehingga 11 Mei depan dan dilakukan secara berperingkat mengikut negeri.
Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti layak mengundi dalam pemilihan parti sepenuhnya yang kedua selepas 2010.
Teka-teki langkah Anwar
Anwar sebelum ini dijangka menarik diri dari persaingan kerana berhadapan dengan kemungkinan dipenjara susulan keputusan kes liwat beliau.
Keputusan tidak menarik diri di saat ini menjadi tanda tanya kepada para pemerhati yang sebelum menyaksikan Anwar hanya mengumumkan pencalonan beliau bagi 'menghalang' calon lain dari menentang Azizah.
Bagaimanapun Johari berkata masih ada ruang untuk calon menarik diri sehingga 13 April ini cuma bayaran RM 5,000 untuk bertanding jawatan presiden tidak akan dikembalikan.
"Boleh lagi (tarik diri). Selepas PC (sidang media) seterusnya (15 April) baru kita cetak nama dan nombor pertandingan" kata beliau ketika ditemui selepas sidang media hari ini.
Team A, B dan C
Pertandingan naib presiden, ketua AMK dan ketua Wanita menyaksikan pertembungan 'kumpulan' yang terdiri dari 'chai' tiga calon timbalan presiden.
Kumpulan penyandang Azmin Ali dilihat paling kukuh dan telah lama bekerjasama.
Azmin yang juga pengerusi PKR Selangor dilihat membariskan rakan lama beliau dari Selangor iaitu Yahya Sahri dan bekas exco Dr Xavier Jeyakumar.
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang Dr Mansor Othman dan bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh turut dikatakan berada dalam kem beliau.
Kem ini bekerjasama dengan penyandang ketua wanita Zuraidah Kamaruddin dan calon ketua AMK Amiruddin Shari.
Sumber kem menyatakan mendapat sokongan kuat dari negeri Selangor, Sabah, Pulau Pinang dan Pahang berdasarkan gerak kerja mereka yang telah pun bermula sekian lama.
Sementara itu pasukan Datuk Saifuddin telah memperkenalkan diri secara rasmi minggu lalu menerusi kempen bertema “Masa Depan Bersama”.
Pasukan beliau terdiri dari calon presiden Nurul Izzah Anwar dan pengarah strategik Rafizi Ramli yang dijangka cuba menarik minat golongan muda dan profesional dalam parti.
Penyandang naib presiden Fuziah Salleh dan Tian Chua turut dilihat 'rapat' dan bersefahaman dalam kempen Saifuddin yang turut disertai calon ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad.
Satu lagi kumpulan yang dilihat mampu memberi cabaran ialah kumpulan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dikatakan sedang berhadapan dengan krisis.
Khalid mengumumkan keinginan beliau untuk bertanding awal bulan lalu muncul bersama bekas calon timbalan presiden Mustafa Kamil Ayub dan exco Selangor Elizabeth Wong dan calon ketua wanita Rodziah Ismail.
Penarikan diri Wong secara tiba-tiba yang diumumkan hari ini memberi gambaran bahawa kempen Khalid mungkin berdepan dengan masalah.
Senarai calon bertanding (* penyandang):
Presiden:
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail*
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Timbalan Presiden:
Azmin Ali*
Tan Sri Khalid Ibrahim
Saifuddin Nasution Ismail
Datuk K Rama Chandram
Naib Presiden:
Fuziah Salleh*
Datuk Mansor Othman*
Nurul Izzah Anwar*
Tian Chua*
Baru Bian
N Surendren
R Suresh Kumar
Mustafa Kamil Ayub
Mohd Rafizi Ramli
Mohd Yahya Sahri
Lee Chin Cheh
Shanmugam Randhathani
Streram Sinnasamy
Dr Xavier Jayakumar
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua AMK:
Amiruddin Shaari
Nazree Yunus
Nik Nazmi Nik Mohamad
Ketua Wanita:
Zuraida Kamaruddin*
Rodziah Ismail
0 comments:
Post a Comment