PETALING JAYA: Persaingan tiga penjuru bagi menduduki kerusi panas jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka akan berlaku pada Mesyuarat Kongres Pemilihan Ke-50 pada 25 Mei ini.
Bagaimanapun senarai nama tiga pencalonan jawatan ini tidak didedahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
"Penyerahan nama calon-calon untuk Kongres Ke-50 ini telah ditutup. Tiga nama telah dicalonkan untuk jawatan presiden.
"Jawatan naib presiden sebanyak sepuluh pencalonan, timbalan presiden 17 orang.
"Jawatan Eksekutif 35 calon dan Jawatankuasa Eksekutif Wanita seramai sebelas orang.
"Sekarang ini proses pihak sekretariat untuk memaklumkan kepada semua calon di Malaysia bersama borang pencalonan sama ada mereka menerima atau menolak pencalonan itu.
"Nama-nama akhir akan diumumkan mengikut Statut FAM iaitu sebulan sebelum kongres berlangsung sebelum 25 Mei," katanya ringkas kepada media.
Sekiranya tiga pencalonan itu kekal sehingga keputusan akhir diumumkan, jelas sekali menyaksikan persaingan tiga penjuru.
Tumpuan kepada dua nama besar disebut-sebut untuk mencabar kedudukan Presiden Sultan Ahmad Shah iaitu Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan juga Tengku Mahkota Pahang yang juga Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad.
Walaupun belum ada pengesahan yang kukuh mengenai pencalonan ini, Tunku Ismail dan Tengku Abdullah menjadi pilihan untuk merebut jawatan utama FAM ini.
Sebagai rekod, Sultan Ahmad Shah menyandang jawatan Presiden sejak tahun 1984.
Kalau dewa2 juga jadi presiden, tak kemanalah taraf bolasepak Maliesia ni.
ReplyDelete