KOTA TINGGI - Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Semenchu ditemui mati hari ini selepas dipercayai disamun dan dibunuh di rumahnya di Blok 2, Felda Semenchu dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, mayat Zalifah Jamaluddin, 68, ditemui oleh anak lelakinya yang ke rumah itu pada kira-kira 12.20 tengah hari tadi.
Anak mangsa yang berumur dalam lingkungan 40 tahun mendapati pintu dapur rumah itu terbuka dan keadaan dalam rumah berselerak sebelum menemui Zalifah, yang juga peniaga kain, tidak sedarkan diri di dalam bilik tidur.
Anggota polis dari Balai Polis Teluk Sengat, Kota Tinggi dan Jabatan Forensik yang menyiasat tempat kejadian mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mayat Zalifah kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu untuk dibedah siasat.
"Dari segi luaran, tidak terdapat sebarang tanda luka atau serangan fizikal terhadap mangsa. Kita tunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment