Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada pelakon Ahmad Busu yang telah pun meninggal dunia hari ini. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas Maghrib tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Buat anda yang tidak mengenali Ahmad Busu, Allahyarham sangat popular menerusi sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu satu ketika dahulu. Watak yang dibawak ialah Mat Deris. Pelakon segenarasi dengannya ialah Imuda.
Sementara itu, di laman sosial Twitter pula, para peminat telah keliru dengan berita kematian pelakon ini dan Allahyarham Pak Busu yang juga pernah membintangi sitkom PMPMTT bersama arwah Ahmad Busu.
Sementara itu Imuda sebagai sahabat rapat Allahyarham Ahmad Busu berkata dia terkilan kerana tidak dapat memenuhi undangan terakhir arwah untuk makan bersamanya.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah ialah dua bulan lepas,” kata Imuda. “Dia beriya-iya mengajak saya dan isteri datang ke rumahnya untuk makan nasi bersama. Tetapi saya tak sempat sebab jadual kerja yang sibuk.”
Bintang Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu masih berada di rumahnya di Pulau Pinang sewaktu mendapat berita sedih tentang kematian sahabat karibnya pada kira-kira jam 7.30 malam, Ahad.
“Saya akan bergegas ke Klang pagi esok untuk menghadiri pengkebumiannya,” ujar Imuda. “Saya amat sedih kerana kehilangan seorang sahabat yang sangat baik.”
Ditanya sama ada arwah menunjukkan tanda-tanda yang luarbiasa sebelum pemergiannya, Imuda berkata Ahmad Busu seorang yang ceria walaupun dalam keadaan sakit.
“Dia sangat ceria masa berjumpa saya. Orangnya memang tak banyak cerita dan tak suka menyusahkan orang lain,” katanya.
Ahmad Busu, 60, meninggal dunia akibat penyakit strok di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Allahyarham terkenal dengan wataknya sebagai Mat Deris dalam komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu sekitar tahun 80an, arahan Othman Hafsham.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
Jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Lipat Kajang, Seri Andalas, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, jam 9.30 pagi esok..
Takziah diucapkan pada keluarga arwah. Al-Fatihah.
0 comments:
Post a Comment