Kuala Nerang: Nur Nabila Al-Husna Mohammad Tauffid hanya melihat dari jauh jenazah ibu dan tiga adiknya dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Masjid Jami’ul Khair Kampung Tong Pelu, di sini, semalam.
“Saya tak sanggup pergi dekat. Saya sedih sangat. Saya doakan roh mama dan adik dicucuri rahmat,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sepanjang upacara pengebumian, anak sulung tujuh beradik berusia 10 tahun itu dilihat menangis tidak berhenti dan terpaksa ditenteramkan ibu saudaranya, Hidayah Khassim, 50.
Berada di sekolah
Ketika kejadian, Nur Nabila berada di kelasnya di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (SKBBB).
“Cikgu datang dan tiba-tiba peluk saya sambil menangis. Cikgu beritahu mama dah tak ada. Saya terkejut dan terus menangis.
“Susah nak terima tapi bila nampak jenazah mama dan adik di Hospital Kajang, saya sedar mama dah tak ada,” katanya.
Nur Nabila kali terakhir bertemu ibunya ketika bersiap bersama dua adiknya, Muhammad Nabil Luqman Al-Hakim, 6, dan Nur Nidhal Al-Hanin, 4, untuk dihantar ke sekolah oleh bapa, Muhammad Tauffid Khassim, 44.
Katanya, arwah ibunya kelihatan tergesa-gesa menyediakan sarapan.
Terdahulu, jenazah empat beranak itu tiba di Kampung Tanjung Luar, Pedu, dekat sini, kira-kira jam 4 pagi semalam sebelum dikebumikan pada jam 11 pagi.
Jenazah di bilik mayat hospital
Muhammad Tauffid yang menemani anaknya itu berkata, Nabil menunjukkan reaksi lebih baik berbanding kelmarin, walaupun masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Keadaannya lebih stabil hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi, semalam.
0 comments:
Post a Comment