PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam, 59, bakal menjalani pembedahan membuang batu karang di Hospital Pakar KPJ Tawakkal di sini selepas dimasukkan ke hospital itu pagi Isnin.
Isterinya Datin Patimah Ismail berkata, Yusof dikejarkan ke hospital itu kira-kira pukul 9 pagi Isnin selepas mengadu sakit pada bahagian perut ketika bangun pagi untuk solat Subuh selain mengalami kencing berdarah.
"Saya mula risau apabila dia hampir pengsan kerana menahan sakit selain wajahnya menjadi pucat. Saya tidak mengetahui punca sebenar kesakitan yang dialaminya dan terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Patimah memberitahu doktor mengesahkan suaminya mengalami penyakit batu karang dan perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelak keadaannya bertambah teruk.
Katanya, Yusof akan menjalani pembedahan secara laser pada bahagian kanan perutnya pada petang Isnin.
"Keadaan suami sekarang stabil selepas doktor memberikan ubat tahan sakit sebelum menjalani pembedahan yang dijadualkan pada petang ini.
"Doakan supaya dia selamat menjalani pembedahan itu dan kembali sihat," katanya.
Dalam perkembangan sama, Patimah berkata, sebelum ini Yusof tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda penyakit batu karang dan hanya mengetahui perkara itu apabila dirujuk ke hospital pada pagi Isnin.
-Mstar
0 comments:
Post a Comment