Hangit!! Mengorek Fakta: DUN Kuala Besut Oh Kuala Besut.. Milik Siapa PRK Nanti.. Jom Terjah!!!

Ada beberapa pemerhatian menarik yang dapat saya simpulkan tatkala meneliti semula keputusan-keputusan pilihan raya lepas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu. 

Menghayati pemerhatian dan kesimpulan itu insya Allah sedikit sebanyak akan dapat membantu peminat politik lebih memahami perkembangan terkini perebutan pengaruh dan kuasa di kawasan tersebut. Dun Kuala Besut sekali lagi menjadi tumpuan seluruh negara apabila satu pilihan raya kecil bagi kawasan itu bakal diadakan dalam masa terdekat. 
Menurut catatan sejarah pilihan raya negara, ini merupakan pilihan raya kecil kedua berlaku di Dun berkenaan. Kali pertama ialah pada 30 Julai 1979, ekoran kematian wakil rakyatnya daripada Barisan Nasional (BN), Zakaria Muda.

Rabu (26 Jun) lalu, kerusi berkenaan kosong lagi, juga berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Dr. A. Rahman Mokhtar, akibat paru-paru berair.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru lalu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Puan Napisah Ismail dengan majoriti 2,434undi. Anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu memperolehi 8,809 undi berbanding Napisah yang mendapat 6,375 undi.

Ini merupakan penggal kedua bagi Allahyarham. Pada 2008, beliau menewaskan calon PAS, Ustaz Muhammad Zawawi Salleh denganmajoriti 2,631 undi. Beliau mengumpul 7,123 undi manakala lawannya mengutip 4,492 undi.

Allahyarham dipilih mewakili BN menggantikan penyandang, Abdullah Che Muda yang memenangi kerusi berkenaan pada 2004 dengan majoriti 2,027. Abdullah mendapat 6,334 undi sekaligus menewaskan Ustaz Muhammad Zawawi yang memperolehi 4,307 undi.

Walau pun sejak tiga PRU lalu (bermula 2004), Dun Kuala Besut menjadi milik BN, ia sebenarnya tidak senantiasa begitu sepanjang sejarah kewujudannya. Malah, sebagai pemerhatian pertama saya, bahawapemenang pertama kerusi Dun Kuala Besut (menerusi PRU 1959) ialah PAS, bukannya BN (atau Perikatan ketika itu).

Bahkan, dalam PRU berkenaan, saingan terdekat PAS bukannya Perikatan, tetapi Front Sosial (SF). Calon PAS, Haji Wan Said Mohd Nor menewaskan calon “Parti Ppalo Kubar” (sepertimana disebut oleh warga tempatan Kuala Besut, secara literal bermaksud “Parti Kepala Kerbau”, merujuk kepada lambang SF), Wan Ali Wan Jusoh denganmajoriti 245 undi.


Wan Said memperolehi 1,303 undi berbanding Wan Ali dengan 1,058 undi. Manakala Abu Bakar Ahmad mewakili Perikatan hanya di tempat ketiga dengan 942 undi.

Kedua, kehadiran Wan Ali selaku tonggak utama SF Ranting Besutmenjadikan Kuala Besut sebagai antara pangkalan utama parti itu di Terengganu. Beliau sendiri bertanding sebanyak tiga kali di situ, iaitu pada 1959 dan 1964 (atas tiket SF), diikuti PRU 1974 (atas tiket Partai Sosialis Rakyat Malaysia - PSRM). Tidak syak lagi mana-mana kawasan yang menjadi tumpuan parti tersebut banyak dicorakkan dengan isu-isu ekonomi dan kemasyarakatan. Kuala Besut tidak terkecuali.

Ketiga, sejarah juga mencatatkan bahawa PAS pernah mewakili Dun Kuala Besut sebanyak empat kali. Selain menerusi PRU 1959, parti itu memenanginya semula pada PRU 1969 menerusi Mohamad Said. Beliau menewaskan calon Perikatan, Zakaria Muda dengan majoriti 257 undi, sekali gus menjadi wakil tunggal pembangkang dari Besut.

Pada PRU 1974, PAS bertanding atas tiket BN. Kuala Besut adalah satu-satunya kerusi di Besut yang difaraidkan kepada PAS. Calonnya,Ustaz Husin Jusoh menang agak besar ke atas pencabarnya daripada PSRM, Wan Ali Wan Jusoh.

Kemenangan PAS kali keempat di situ ialah menerusi Ustaz Zawawi Salleh, iaitu pada PRU 1999. Beliau memperolehi 4,426 undi berbanding Dato’ Wan Zakaria Abd. Rahman, selaku penyandang, yang mendapat 3,939 undi.

Keempat, meski pun BN (Perikatan) lebih kerap menang berbanding PAS, kekuatan kedua-dua pihak kelihatan agak seimbang. Majoriti kemenangan terbesar BN ialah 2,631 yang dicatatkan pada 2008. Manakala pada kesempatan lain, angka itu jauh lebih rendah.

Bahkan, dalam beberapa pertarungan lain, kekalahan dialami PAS tidaklah seteruk mana. Contohnya, pada PRU 1964, ia kalah dengan hanya 330 undi. Begitu juga pada 1978 (875 undi), 1990 (263) dan 1995(811).

Keupayaan PAS memberikan saingan sengit di situ meletakkan Dun Kuala Besut sebagai salah satu kerusi yang sentiasa menjadi sasaran PASuntuk dimenangi dalam perkiraan parti itu menakluki Terengganu.

Kelima, sebahagian besar calon dipilih mewakili PAS di situ ialah pemimpin PAS dari “luar Dun”. Bermula PRU 1964, PAS mempertaruhkan Yusof Mat Sah, yang tinggal di Jertih. Begitu juga dengan Mohamad Said dan Ustaz Husin Jusoh, yang menang masing-masing pada 1969 dan 1974, kedua-dua mereka juga dari Jertih. Ustaz Husin malah turut mewakili PAS dalam dua pilihan raya berikutnya, iaitu pada 1978 dan pilihan raya kecil 1979.

Pada PRU 1982, PAS menjemput Muhammad Jusoh @ Ustaz Stimat, dari Kerandang (sekarang dalam Dun Jabi) pula bertanding di situ. Ini diikuti Ustaz Abdul Latif Muhammad (1986) dan Ustaz Husain Awang (1990), kedua-dua mereka juga dari Jertih.

Malah, Ustaz Zawawi yang menang pada 1999, didatangkan dari Kampung Alor Keladi, dalam Dun Hulu Besut. Alhamdulillah, beliau diterima baik masyarakat setempat (khususnya pendukung PAS) sehingga diberi kepercayaan bertanding lagi pada 2004 dan 2008 di situ.

Ertinya, dari sudut penerimaan masyarakat, faktor “orang luar Dun”nampaknya tidak menjadi masalah utama dalam pemilihan calonmewakili PAS di Kuala Besut. Asal saja tokoh yang dipilih itu dari kalangan kepimpinan PAS di Besut, selain mempunyai hubungan baik sedia terjalin dengan masyarakat di dalam kawasan berkenaan.

Semoga analisa ringkas ini dapat membantu kita memahami latarbelakang pergolakan politik di Kuala Besut sedari dulu. Bahawa peluang di kerusi berkenaan sentiasa terbuka buat kedua-dua pihak – PAS mahu pun BN, bergantung kepada sejauh mana mereka berupaya memanipulasi kecenderungan dan sentimen dalam masyarakat.


Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil:1857, 22-25 Syaaban 1434/1-4 Julai 2013 di ruangan ‘KOLUMNIS F21’ dengan tajuk ‘Memahami latar belakang pergolakan politik Kuala Besut’

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.