(Video & Gambar2) Empat Beranak Rentung Dipercayai Bunuh Diri..

Empat beranak yang dipercayai tertekan dan tidak dapat menerima hakikat kematian ketua keluarga akibat kanser paru-paru ditemui mati terbakar dengan dua daripada mereka berpelukan di rumah banglo di Taman Bukit Medan, Sungai Siput semalam.
Empat mangsa itu ialah S. Jayalatchumy, 45, dan tiga anaknya, R. Thilagawati, 23, R. Puvaneswary, 21, serta R. Suhan, 17. Kematian ibu dan tiga beradik itu berlaku hanya empat hari selepas S. Rajan, 48, suami kepada Jayalatchumy mati.
Mayat keempat-empat beranak itu ditemui di bahagian dapur dengan Thilagawati dan Puvaneswary dalam keadaan berpelukan.
Difahamkan keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Jumaat lalu daripada pengetahuan keluarga terdekat dan jiran-jiran.
Jiran sebelah rumah mereka, Mok Kam Hing, 43, berkata, dia menyedari berlaku kebakaran di rumah disewa keluarga itu sewaktu menonton televisyen pada pukul 12.10 tengah malam.
“Saya terkejut terdengar bunyi letupan kuat dan pada mulanya disangka mercun tetapi selepas menjenguk ke luar rumah, saya mendapati rumah sebelah sedang terbakar,” kata Kam Hing yang kemudian menghubungi bomba.
Kata jiran itu lagi, dia percaya letupan itu berpunca daripada tong gas yang terbakar sebelum api merebak membakar hampir semua ruang rumah berkenaan.
Kam Hing memberitahu, keluarga tersebut sering menyendiri dan tidak bercampur dengan masyarakat sejak mendiami banglo milik seorang doktor kira-kira setahun lalu.
Sementara itu, abang Jayalatchumy, S. Ramesh Rao, 47, berkata, dia terkejut apabila mengetahui kematian adiknya dan tiga anak wanita itu dalam keadaan tragis.
Lebih mengejutkan, dia yang tinggal di Taman Muhibbah mendakwa baru mengetahui mengenai kematian adik iparnya, Rajan yang disembunyikan oleh Jayalatchumy.
“Saya difahamkan pengkebumian Rajan diuruskan sendiri oleh Jayalatchumy dan anak-anaknya pada Sabtu lalu.
“Sejak tiga tahun lalu, Jayalatchumy dan keluarganya bertindak menjauhkan diri daripada keluarga kandung dan keluarga sebelah mertua ekoran satu perselisihan faham,” katanya yang enggan mendedahkan punca perselisihan faham itu.
Bagaimanapun, Ramesh berkata, dia tetap akan melakukan kewajipan sebagai seorang abang dengan menyempurnakan persemadian Jayalatchumy dan anak-anaknya di Kampung Rimba Panjang pada hari ini.
Rajan dan Jayalatchumy mengusaha ladang getah milik mereka di sini manakala Thilagawati bekerja sebagai kerani, Puvaneswary masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan Suhan pula pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah di Sungai Siput.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Ipoh dihantar ke tempat kejadian pada pukul 12.22 tengah malam sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurut beliau, kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian dapur itu sebelum merebak ke beberapa bahagian rumah.
Katanya, kesemua mayat mangsa ditemui di dapur rumah tersebut pada pukul 12.57 tengah sejurus selepas api berjaya dipadamkan.
“Pihak bomba berjaya memadam api 35 minit kemudian dan mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada letupan tong gas,” kata beliau.
Azman memberitahu, polis mengklasifikasi kematian empat beranak itu sebagai mati mengejut dan sebelum ditemui mati mereka dikatakan amat tertekan selepas kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.