KULIM – Kedah menjana transformasi dengan sangat pantas apabila dalam empat tahun sahaja kerajaan negeri berjaya menjalankan pelbagai projek dan program yang bermanfaat untuk rakyat.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak menyatakan bahawa kerajaan negeri hanya baru memerintah selama empat tahun. Tahun pertama ibarat masuk ke rumah baru dan menyusun perabot, maka selepas tu barulah dapat dilakukan aktiviti-aktiviti lain.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kulim, di Masjid An-ANajah, Padang Serai.
“Orang ramai sering tohmah kita dengan menyatakan bahawa jika kita perintah maka Kedah akan menjadi huru-hara. Ianya adalah tidak benar kerana kita telah lakukan yang terbaik. Walaupun kita tidak baik melebihi orang lain tetapi sekurang-kuranya kita sama dengan orang lain. Kita juga sering berusaha untuk memerangi rasuah.
“Tahun lepas kita sediakan bajet sebanyak RM1.06 bilion dan sebelum tu RM800 juta. Tahun ini bajet kita lebih banyak kerana rakyat Kedah semakin banyak,” terangnya.
Tambahnya, kerajaan negeri sedang menggalakkan anak-anak Kedah agar mempunyai pendidikan apabila jika ada anak Kedah yang berbangsa Melayu, Cina, India dan Siam berjaya masuk ke universiti maka, untuk ijazah diberikan sebanyak RM400 dan untuk diploma sebanyak RM200.
Beliau meminta supaya Majlis Ketua Kampung segera memaklumkan kepada masyarakat mengenai peruntukan ini agar tidak ada yang tertinggal. Selain itu, peruntukan Kafalah yang diberikan kepada waris si mati masih ada bakinya yang tidak digunakan.
“Kita kawal duit dengan kemas, tidak ada ketirisan dan tidak bocor maka kita dapat salurkan kepada rakyat. Akhirnya kita mendapat keberkatan daripada Allah. Jangan kedekut sangat dan jangan boros sangat agar kita tidak kecewa nanti.
“Selain itu, kita telah peruntukkan banyak juta untuk Maahad Tahfiz Sains di Kulim. Di sebabkan banyak pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR maka sambutan terhadap Maahad Tahfiz ini sangat menggalakkan. Kita buka tawaran hanya untuk 50 orang, namun yang datang temuduga kira-kira 400 orang,” katanya bersungguh-sungguh.
Sambungnya, setelah habis belajar di sana selama tiga tahun, mereka akan dihantar untuk sambung belajar di Maahad Tahfiz Sains Pulau Tuba, Langkawi pula. Pihaknya berharap ianya sesuai untuk dibangunkan dan dijadikan tempat ilmu. Beliau juga bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan akan menyediakan bekalan elektrik dan air di sana. Menurutnya, ini adalah pertolongan daripada Allah.
Sebelum ni semua orang takut dengan pulau yang terkenal dengan panggilan pulau hantu itu. Kerajaan negeri sudah sediakan bajet sebanyak RM20 juta. Pada tahun ini tender telah dibuka. Namun, pada tahun hadapan bajetnya akan ditambah.
“Pelajar akan menghafal Al-Quran di sana dan tidak dapat lari ke mana-mana kerana takkan nak terjun ke laut kot,” guraunya bersahaja.
Katanya lagi, Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kuala Ketil sudah hampir siap dan bajetnya hanya RM330 juta. Jika pihak lain yang bina dijangkakan bajetnya adalah RM1 bilion. Perabot-perabot sedang dimasukkan. Selepas ini pelajar-pelajar KUIN akan tinggal bersama-sama penduduk di kawasan itu.
“Jika pelajar KUIN tinggal di sana, maka masyarakat setempat akan mendapat faedahnya ibarat kata pepatah ‘Sesiapa berkawan dengan penjual minyak wangi maka dia akan mendapat bau minyak wangi dan menjadi wangi. Sesiapa berkawan dengan tukang besi maka akan terkena habuk besi dan berbau habuk besi.’
“Selain itu, kita sedang mencari tanah yang sesuai untuk pertanian dan telah membuka tanah seluas 1000 ekar berhampiran dengan Tasik Pedu. Kita akan tanam pelbgai buah–buahan seperti buah kelubi, gemia, cermai dan durian serta banyak lagi. Sekarang sedang ditanam buah mempelam,” terangnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Exco-exco kerajaan negeri dan MKK kawasan.
0 comments:
Post a Comment