KANGAR - Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad melahirkan rasa sedih dengan dakwaan Ahli Parlimen di Perlis yang juga bekas menteri dikatakan akan lompat parti sekiranya tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Katanya, ini bukan masanya untuk membuat tuduhan, sebaliknya adalah bekerjasama memastikan Barisan Nasional (BN) terus memerintah di negeri dan Persekutuan.
"Saya sedih dengan tuduhan itu, lebih-lebih lagi bukan dari luar. Ini dari dalam Umno sendiri. Sepatutnya dalam masa ini, Umno semua peringkat hendaklah bersatu menghadapi PRU.
"Ini PRU paling sengit, kita kena ingat, jadi hendaklah bersatu menghadapinya, bukan menuduh dengan dakwaan yang tidak berasas langsung," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian semalam yang menyebut bekas menteri yang masih menjawat Ahli Parlimen akan meninggalkan BN sekiranya tidak dicalonkan dalam PRU13.
Perlis mempunyai tiga kerusi Parlimen iaitu, Padang Besar disandang Datuk Seri Azmi Khalid; Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Arau, Datuk Ismail Kassim.
Hanya Azmi dan Radzi yang pernah menyertai kabinet di mana Azmi jawatan terakhirnya adalah, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (ketika itu) manakala Radzi, Menteri Dalam Negeri.
Mengulas lanjut katanya, perbuatan sebegini boleh memecahbelahkan lagi parti dari dalam.
Katanya, beliau sentiasa akur dengan apa yang ditentukan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya sudah lama dalam politik.... saya pun tak tahu saya 'Winable Candidate' atau tak, pengerusi akan tentukan segalanya," katanya.
Ditanya mengenai jawatan Menteri Besar, beliau berkata, "dicalonkan pun belum tahu lagi, inikan pula saya nak jadi MB".
Sementara itu, bagi Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid, beliau menafikan akan lompat parti sekiranya tidak dicalonkan PRU13.
Sebaliknya, beliau bertegas akan terus memberikan sokongan dan bantu siapa saja calon yang diputuskan.
"Saya tidak akan lakukannya (lompat parti), itu hanya cerita mereka-mereka saja. Tidak perlu serius.
"Dengan pengalaman yang sedia ada, saya akan bantu sebaik mungkin dalam menghadapi PRU akan datang ini," katanya yang kini dilantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
0 comments:
Post a Comment