KAHERAH 24 Jun - Calon Ikhwan Muslimin, Mohammed
Mursi secara rasmi diumum sebagai Presiden Mesir hari ini, sekali gus
disambut sorakan berpuluh-puluh ribu penyokongnya yang berhimpun di
Dataran Tahrir sejak awal pagi.
Menurut keputusan yang diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
Presiden, Farouk Sultan, Mursi menerima 51.7 peratus atau 13 juta undi,
menewaskan bekas komander tentera udara, Ahmed Shafik yang memperoleh
48.3 peratus atau 12 juta undi.
Pengumuman menerusi satu sidang media yang disiarkan di televisyen
itu, turut diperdengarkan melalui pembesar suara di Dataran Tahrir,
lokasi penyokong Ikhwan berkumpul bagi menanti keputusan berkenaan.
Kemenangan beliau disambut sorakan penyokongnya yang mengibarkan bendera negara dan melaungkan 'Allahuakbar!'.
Mursi, 60, seorang jurutera yang pernah menjalani hukuman penjara
sewaktu era pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak, memenangi
pusingan pertama pilihan raya Presiden Mei lalu.
Kemenangannya juga meredakan kebimbangan tentang keganasan yang
mungkin dilancarkan golongan sekular, yang khuatir Shafik yang juga
sekutu Mubarak bakal diangkat sebagai pemimpin baru Mesir. - AGENSI
0 comments:
Post a Comment