PAS Tolak Penubuhan Panel Bebas Siasat Insiden Bersih 3.0.. Kerajaan Ada Muslihat!!


Mahfuz berkata Suhakam merupakan pihak yang sepatutnya melaksanakan siasatan ke atas insiden Bersih 3.0. — Gambar fail
KUALA LUMPUR, 10 Mei — PAS menolak penubuhan panel bebas menyiasat insiden keganasan Bersih 3.0 pada 28 April lalu kerana melihat ianya hanyalah helah menutup kesalahan kerajaan sewaktu menyuraikan peserta perhimpunan Bersih 3.0
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, kerajaan seharusnya menggunakan badan bebas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menyiasat insiden keganasan sewaktu Bersih 3.0 tempoh hari memandangkan kerajaan telah memberikan peruntukan yang besar terhadap badan tersebut.
“PAS menolak penubuhan panel itu kerana ia melihatkan kerajaan seolah-olah tidak percayakan Suhakam.
“PAS melihat penubuhan panel itu hanya akan membazirkan wang rakyat sedangkan kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar kepada Suhakam,” katanya kepada The Malaysian Insider lewat malam tadi.
Ahli Parlimen Pokok Sena ini menjelaskan, PAS melihat perlantikan ahli jawatankuasa tersebut juga disebabkan kerajaan hanya mahukan panel yang berat sebelah terhadap kerajaan dan bukannya mengkritik kerajaan.
“Suhakam dilihat tidak memberikan kenyataan yang berat kepada kerajaan. Badan itu mengkritik kerajaan dan pihak polis atas insiden keganasan Bersih 3.0.
“Atas sebab itu PAS percaya, pendirian Suhakam yang berlandaskan prinsip hak asasi manusia tidak disenagi kerajaan,” tegasnya.
Tun Hanif Omar semalam telah dilantik mengetuai enam ahli jawatankuasa bebas untuk menyiasat keganasan sewaktu perhimpunan Bersih terhadap media dan peserta perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih.
Selain bekas Ketua Polis Negara itu, ahli lain adalah termasuk bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Shim, Pengarah Urusan Sinar Harian Datuk Hussamuddin Yaacub, penasihat perundangan Antarabangsa Media Cina Liew Peng Chuan, Pengarah Perhubungan Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah and Professor Psychologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, panel bebas itu akan mengadakan mesyuarat pertama mereka untuk tempoh beberapa hari lagi.
Mahfuz turut mempersoalkan pemilihan Hanif untuk mengetuai panel siasatan tersebut kerana beliau merupakan bekas ketua polis negara yang mana adalah mustahil akan memberikan laporan siasatan yang neutral tanpa melindungi kepentingan pihak berkuasa yang dikatakan bertindak ganas terhadap perusuh.
“Hanif Omar adalah bekas ketua polis, jadi siasatan akan berat sebelah kepada polis, ini bermakna tidak akan ada ketelusan dalam siasatan.
“Beliau dari awal sudah prejudis terhadap Bersih dan penganjur Bersih, jadi bagaimana orang semacam itu akan beri siasatan yang bebas dan tidak prejudis?” soal Mahfuz.
Malah, beliau turut mendesak Jawatankuasa Pemandu Bersih dan peserta memboikot panel yang dilantik kerajaan.
“Biar siasatan Bersih diteruskan oleh Suhakam.
“Situasi ini jelas menunjukkan kerajaan hanya ingin mengaburi mata rakyat, apabila melantik badan yang kononnya bebas, sedangkan ahli jawatankuasa panel itu sendiri sudah terbukti berat sebelah kepada kerajaan,” katanya menambah.
Jelas Mahfuz mengulas perkara itu, “keadaan ini sebenarnya akan merosakkan imej kerajaan dari aspek hak asasi manusia.”
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan akan melantik panel bebas yang “kredibel, berpengalaman, dan dihormati” untuk menyiasat keganasan polis terhadap peserta dan wartawan sewaktu insiden Bersih di Dataran Merdeka.
Tambah Najib, rakyat boleh melihat perkembangan siasatan tersebut bagi menyiasat kebenaran dakwaan keganasan terhadap wartawan, media tempatan dan antarabangsa ketika perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih itu berlangsung.
Enam media dan kira-kira 12 jurugambar termasuk media asing dikatakan telah diserang pihak polis ketika kekacauan di dataran bersejarah terbabit, selepas polis melepaskan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan perusuh yang menceroboh ke kawasan dataran.
Media antarabangsa dan tempatan mula mengkritik pentadbiran Najib menggunakan kekerasan terhadap kumpulan itu, yang menurut mereka hanya menjalankan tugas.
Kekecohan berlaku lebih empat jam bermula sekitar 3 petang apabila penunjuk perasaan mula menceroboh kawasan dataran yang mana sebelumnya berlangsung secara aman.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.