Inilah Peniaga-Peniaga Yang Tuntut Ambiga Bayar Ganti Rugi - Insiden Himpunan Duduk Bantah (BERSIH 3.0)



Sekumpulan peniaga ibu kota hari ini berkumpul di hadapan Kompleks Pertama di pusat bandar raya bagi menuntut pampasan dan ganti rugi kerana didakwa kerugian susulan perhimpunan BERSIH 3.0 pada Sabtu lalu.

Peniaga sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India, Sogo, Kompleks Pertama dan Campbell hadir menuntut pampasan tersebut dan membantah perhimpunan BERSIH diadakan di kawasan mereka selepas ini.

"Kami peniaga, tidak mahu BERSIH ini dijadikan acara di hadapan tempat perniagaan kami. Ia dibuat, dan telah menjejaskan perniagaan kami.

"Kami tetap menolak BERSIH (siri) satu, dua, tiga dan empat. Kami akan menentang BERSIH atau pihak yang mengganggu ketenteraman hingga ke darah titisan terakhir," kata peniaga Ikhlas Ridzuan.

Bahkan, beliau yang berniaga di Kompleks Pertama sejak 36 tahun lalu, turut menempelak perhimpunan BERSIH dengan menyifatkannya sebagai 'busuk'.

"Nama sahaja BERSIH tapi busuk. Kami tidak akan terima lagi sampah yang ke-empat," katanya.

Beliau juga menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail supaya mengambil berat terhadap rintihan peniaga di kawasan perniagaan mereka itu - yang sering menjadi tempat demonstrasi - yang didakwanya "sudah terjejas teruk".

Beliau turut menggesa supaya "orang lain jangan kacau tempat" mereka untuk menjalankan perniagaan mereka.

Manakala seorang lagi peniaga di Kompleks Pertama Zainul Hanapiah Ahmad pula mendakwa sejak perhimpunan BERSIH yang pertama, peniaga di kawasan sekitar itu "tidak boleh menjalankan perniagaan" mereka.

Apatah lagi, katanya, ura-ura perhimpunan seumpama itu akan diadakan buat kali yang keempat.

"Kita bantah perhimpunan BERSIH 4 yang diadakan. Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengancam keselamatan," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengambil tindakan terhadap pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga.

"Jangan tangkap ikan bilis sahaja... Peniaga takut nak keluar (untuk berniaga) dan menjejaskan perniagaan mereka," katanya sambil memberi amaran tidak akan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum jika perhimpunan ini diadakan.

Mohd Ridzuan juga berkata beliau tidak teragak-agak untuk "duduk" bersama-sama dengan peniaga sekitar Kuala Lumpur, di hadapan rumah Ambiga bagi menuntut pampasan di atas kerugian yang dialami dan membantah sekiranya BERSIH 4 diadakan.

Bercakap kepada media selepas perhimpunan tersebut , Mohd Ridzuan menjelaskan pihaknya akan berhimpun secara aman di rumah pemimpin BERSIH itu hanya untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, pihaknya akan membatalkan hasrat tersebut sekiranya Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Ambiga.

"Wujud pula nak buat BERSIH 4, kita minta peniaga bangkit menentangnya... Kami merayu kepada polis supaya mengambil tindakan kepada Ambiga.

"Jangan lari, kami kejar untuk dapatkan pampasan," katanya sambil merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membantu peniaga di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, IKHLAS membuka kaunter untuk mengumpulkan para peniaga yang didakwa terjejas akibat perhimpunan tersebut.

Setakat ini, pihaknya kini telah mengumpul kira-kira 200 peniaga dalam tempoh dua hari bermula semalam. Mereka akan berada di kompleks tersebut selama seminggu.

Mohd Ridzuan berkata selepas itu mereka akan mengkaji jumlah kerugian yang dialami oleh peniaga sebelum membuat laporan polis.

Menurutnya, pada BERSIH 2.0 mereka merekodkan sebanyak 317 peniaga telah membuat laporan polis. Jumlah kerugian yang dicatatkan adalah sebanyak lebih RM800,000.

Dalam perhimpunan yang diadakan, mereka turut merentangkan kain pemidang membantah BERSIH 3.0.

1 comments:

  1. Pegi belah dan pegi lancau lah lu ridzuan. Orang lain buka meniaga waktu orang ramai, yang ko pegi ikut pengurusan kompleks utk tutup kedai ko sapa suruh ngok? Nak cari makan,janganlah mengampu sampai jadi bodoh. Nanti anak2 ko jadi bangang tahap gaban. tuntut lah pampasan dari pengurusan kompleks atau dari datuk bandaraya dan piem dan sepupunya. Dasar jenis bodek dan pencacai.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.