ALOR SETAR - Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah merangka latihan dan bimbingan secara ‘hands on’ atau praktikal kepada setiap usahawan untuk membangunkan perniagaan mereka, selain daripada bantuan kewangan yang diberikan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Insan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abd Ghani Ahmad berkata, antara program latihan yang dilaksanakan adalah seperti kursus pembuatan kek/biskut, kursus Andaman/gubahan, sulaman, pembuatan sabun dan sebagainya.
“Selain itu, PKNK juga menganjurkan bimbingan dan seminar serta bengkel kepada usahawan-usahawan tersebut bagi memantapkan lagi aktiviti perniagaan yang mereka ceburi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan bertulis YB. Encik Mohammad Radzi Salleh (Bebas – Lunas) pada Sidang Dewan Negeri Bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Kedua Belas di Wisma Darul Aman, di sini.
Menurutnya, di antara program yang diaturkan oleh PKNK adalah seperti bengkel keselamatan dan kesihatan, kreativiti rancangan perniagaan, amalan pengilang terbaik, program pembangunan francais dan seminar makanan halal.
“Bagi mendedahkan setiap usahawan tersebut kepada pasaran luar Negara, PKNK juga telah mengaturkan lawatan mencari peluang perniagaan seperti ke Guangzhou, China, Ho. Chi Minh, Vietnam dan Kemboja,” katanya.
YB. Abdul Ghani Ahmad memberitahu, visi pelaburan usahawan terhadap hasil lawatan usahawan adalah bertujuan membuka ruang kepada ahli rombongan menjalinkan hubungan strategik dengan pedagang di China, Vietnam dan Kemboja.
“Ia secara tidak langsung mampu mewujudkan perniagaan trading berskala besar dalam jangka masa panjang di samping sebagai insentif serta galakan yang diberikan oleh PKNK kepada golongan usahawan yang baru menjalankan perniagaan,” jelasnya.
Tambahnya, sebanyak 300 usahawan telah berjaya dibimbing oleh PKNK dan jumlah usahawan yang berdaftar di bawah bimbingan PKNK adalah 400 orang.
0 comments:
Post a Comment