Surat Jawapan Ini Telah Dihantar Oleh Datuk Ir Amiruddin Kepada YDP PAS Kuala Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Bekalan Air Kedah Datuk Amiruddin Hamzah berkata beliau telah membalas surat PAS Kuala Kedah berikutan tindakannya menerima pelantikan semula jawatan Exco kerajaan negeri walaupun telah diarahkan tidak menerima pelantikan itu.

Sehubungan itu, beliau menganggap kes yang membabitkan dirinya dalam isu PAS Kawasan Kuala Kedah itu selesai setelah menjawab surat yang dihantar oleh Setiausaha PAS kawasan itu semalam (Khamis).

"Saya tak jangka akan ada masalah mengenai jawatan saya dalam PAS. Saya anggap perkara itu sudah selesai dan saya juga telah membalas surat itu kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Kedah Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan PAS Kuala Kedah yang memberikan kata dua kepadanya kerana melanggar keputusan mesyuarat jawatankuasa kawasan pada 24 Februari lalu yang menyokong Yang Dipertua PAS kawasan itu Datuk Phahrolrazi Zawawi yang tidak mahu dilantik semula sebagai Exco dan menetapkan semua Adun dalam kawasan Kuala Kedah menolak pelantikan Exco.

Amiruddin, yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Kedah, adalah antara lapan Exco yang menerima pelantikan semula bagi tempoh 2012/2013 manakala dua lagi Exco termasuk Phahrolrazi telah menulis surat kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan keengganan dilantik semula.

Amiruddin berkata antara kandungan yang terdapat dalam surat itu ialah meminta supaya beliau mengatakan pandangan dan pendiriannya terhadap isu berkenaan.

"Saya telah membalas surat itu dan saya tidak bercadang untuk mengumumkannya di sini apa kandungan yang saya tulis. Ini hal adik beradik dan saya rasa ia tidak akan terjejas kedudukan saya dalam PAS dan mereka boleh menerimanya," katanya.

Amiruddin berkata kandungan surat yang diterimanya tidak sama seperti apa yang digambarkan dan dihebahkan sebelum ini (memberi kata dua), sebaliknya ia ditulis secara berhemah.

"Jadi saya rasa eloklah saya jawab dengan cara yang elok kerana surat itupun ditulis dengan cara baik," katanya.

Apabila ditanya tentang penerimaan masyarakat (penyokong PAS) terhadap dirinya selepas berlakunya perkara itu, beliau menjawab:

"Respons dari bawah itu (masyarakat) macam-macam, tapi saya ingat bila isu ini reda ia akan balik seperti asal". - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.