kes juvana
KUALA TERENGGANU - Dek kerana penangan siber kafe, seorang anak sanggup ‘mencilok’ duit bapanya sendiri bagi membolehkannya menghabiskan waktu bersama rakan-rakannya.

Bagaimanapun, tindakan pelajar yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membawa padah apabila bapanya membuat laporan polis dan dia akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berusia 17 tahun itu telah didapati dengan niat curang mencuri wang tunai RM500 dan sebuah telefon bimbit pada 17 Januari kira-kira jam 7.10 pagi hingga 20 Januari kira-kira jam 8.30 pagi di Taman Permint Jaya, Chendering, dengan anggaran kerugian kira-kira RM540.


Oleh yang demikian, dia didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


Jika disabitkan kesalahan, dia boleh di penjara maksimum 10 tahun dan denda.


Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala pertuduhan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.


Selepas mendengar pengakuan tertuduh, Noradila menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebut semula dan menetapkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.


Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 8 malam pada 15 Januari lalu, pengadu, iaitu bapa tertuduh berumur 43 tahun dan bekerja dalam bidang pemasaran telah memasukkan RM500 ke dalam sampul surat serta diletakkan di atas rak kain.


Kali terakhir duit itu dilihat adalah pada 17 Januari lalu, kira-kira jam 7.30 petang manakala pada 20 Januari kira-kira jam 8.30 pagi, pengadu melihat semula wang itu dan mendapati ia telah tiada, dipercayai telah dicuri oleh anaknya sendiri.


Pada 17 Januari juga, iaitu kira-kira jam 7.10 pagi, bapanya juga mendapati telefon bimbitnya yang diletakkan di ruang tamu telah tiada dan mengesyaki anaknya juga yang mencuri.


Hasil siasatan polis mendapati, tertuduh mengaku mencuri telefon bimbit itu dan menjualnya pada harga RM30. Tertuduh juga mengaku mencuri wang tunai bernilai RM500 dan membelanja rakan-rakannya dan menghabiskannya di siber kafe.


Pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam kerana mencuri duit bapanya sendiri.