ALOR SETAR, 10 Jan 2012 – Di jangka 100 ribu rakyat akan hadir ke Rapat Rakyat Perdana dan ceramah sempena Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 termasuk 4000 pemerhati serta perwakilan dari setiap parti pada 14 Januari ini di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
“Untuk konvensyen kali ke-3 ini, Kedah dipilih sebagai tuan rumah, sebelum ini diadakan di Selangor dan Pulau Pinang,” maklum Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Dato’ Ir Haji Phahrolrazi Zawawi yang juga merupakan Pengarah Sekretariat Konvensyen pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon hari ini.
“Konvensyen kali ini bertemakan ‘Bersihkan Malaysia’ dan akan dihadiri oleh semua tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat, antaranya YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YB Lim kit Siang,” katanya.
“Ucapan pembukaan akan disampaikan oleh YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai tuan rumah, kemudian diikuti YB Anthony Loke dari DAP, Tuan Haji Mustafa Ali dari PAS dan YB Saifuddin Nasution dari PKR.
“Kita juga berpeluang mendengar ucapan ‘Suara Hati Nurani Rakyat Malaysia’ dari jemputan utama yang terdiri dari Dato’ A. Samad Said wakil Budayawan, Prof. Dr Aziz Bari wakil Akademik serta lain-lainnya yang mewakili Felda, penjawat awam, NGO, Pemuda & Mahasiswa serta tidak ketinggalan wakil dari Sabah dan Sarawak,” jelasnya lagi.
Tambah beliau lagi, disebelah petang, ucapan pergulungan pimpinan yang mewakili setiap parti dalam Pakatan Rakyat akan diadakan dan antara mereka yang akan memberi ucapan termasuklah YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, YB Karpal Singh, YAB Lim Guan Eng dan YB Mohamed Azmin Ali.
“Pada sebelah malam pula kita menjangkakan kira-kira 100 ribu kehadiran untuk ‘Rapat Rakyat Perdana’ yang bermula dengan solat maghrib, solat hajat dan munajat. Di samping itu kuliah maghrib akan disampaikan oleh Dato’ Dr. Harun Din.
“Ceramah umum akan bermula pada pukul 9.00 malam dan serentak dengan itu juga kita akan mengadakan pelancaran manifesto Pakatan Rakyat pilihanraya umum ke-13,” sambung beliau.
Sementara itu, bagi memeriahkan lagi sambutan konvensyen, kita akan adakan pra-konvensyen pada malam 13 Januari. Antara acaranya akan diadakan ceramah serentak di 15 kawasan parlimen dan melibatkan 40 pemimpin Pakatan Rakyat.
Konvensyen Pakatan Rakyat Kali ke-3 tersebut akan bermula pada pukul 8 pagi sehingga 5 petang dan akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, Alor Setar.
Turut hadir semasa sidang akhbar Haji Sanusi Mohamad Nor setiausaha Sekretariat konvensyen, Ustaz Musodak Haji Ahmad Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah, Vincent Chee wakil DAP Kedah, Ustaz Rosli Azmi Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah dan Mohd Azam Awang Ketua Pemuda PAS Kawasan Alor Setar.
0 comments:
Post a Comment