Kenapa JAIS Bertindak Kepada MP Shah Alam Dan Pesuruhjaya PAS Selangor?

SHAH ALAM, 6 Sept: Belum selesai isu memeriksa gereja, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuka medan tempur baru apabila mendakwa anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana memberikan tazkirah tanpa tauliah.

(Khalid dan Dr Rani yang kini menjadi mangsa terbaru Jais)

Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam hari ini dan dinyatakan pendakwaan ke atas beliau dan ditetapkan perbicaraannya pada 24 November depan di Mahkamah Syariah Klang.

Beliau dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan 24 November ini.

Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"Tauliah saya tamat Ramadhan lalu selepas menerimanya tahun lepas dan saya telah memohon untuk menyambungnya. Namun saya menerima surat dari Jais permohonan saya ditolak dan tauliah saya ditarik balik oleh Jais," kata Dr Rani kepada Harakahdaily.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadhan pada 16 Ogos lepas di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Sebelum ini, Jais mendapat kritikan pelbagai pihak apabila didakwa membuat serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya.

Jais pula berkata, pihaknya membuat pemeriksaan dan bukannya serbuan di gereja itu atas dakwaan dan maklumat ada usaha mengkristiankan umat Islam.

Ekoran itu, 12 orang Islam yang berada dimajlis itu sedang disiasat oleh Jais.

PAS pula mendesak Jais mendakwa mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar mana-mana peraturan ekoran dakwaan Jais itu.

Sebelum itu, usaha PAS untuk berbincang dengan Jais dan Gereja gagal apabila kedua-dua pihak tidak bersedia berbuat demikian.

Setiausaha Agung PAS. Datuk Mustafa Ali pula mendakwa, ada tangan-tangan Umno di belakang tindakan Jais ini. Ekoran itu, Umno Selangor berkata Mustafa akan disaman. Mustafa pula menjawab pihaknya sedia bertemu Umno di mahkamah dan akan memberikan bukti dakwaan beliau di mahkamah.

Dalam pada itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily berkata, semasa tazkirah Ramadhan itu beliau memang menyentuh peranan umat Islam dalam menguruskan hal ehwal agama di negeri ini.

"Saya memberikan tazkirah tentang cerita yang berlaku di zaman Saidina Ali menjadi khalifah Islam di mana semasa peperangan Sifin baginda dapati baju besi baginda hilang.

"Apabila pulang baginda dapati seorang Yahudi sedang menjual baju besi itu di pasar lalu baginda berkata itu baju besinya. Yahudi itu pula berkata, ini aku punya.

"Lalu kes ini dibawa ke mahkamah Islam ketika itu iaitu Qadhi. Qadhi bertanya Saidina Ali, apa bukti dan saksi bahawa baju besi itu baginda yang punya.

"Saidina Ali berkata, bukti tidak ada tetapi saksi ada iaitu Hassan dan Husein. Qadhi kata, kedua-duanya tidak boleh jadi saksi yang adil kerana mereka berdua anak baginda. Jadi kes ini ditolak oleh Qadhi dan jadilah baju besi itu milik Yahudi itu.

"Saya ingin beritahu kepada hadhirin keadilan Islam ini bukan kepada Islam sahaja bahkan kepada Yahudi pun hatta berlawan dengan Khalifah Islam sendiri.

"Saya nak kaitkan, kita umat Islam kena dengar kedua-dua belah pihak dalam kes Jais siasat gereja ini bukan dari sebelah pihak dan membuat keputusan," cerita Khalid tentang tazkirah yang diberikannya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.