Kenapa Anak Timbalan PM Rakamkan Album Inggeris Di Indonesia??...



SEWAKTU lagu Kau Yang Punya nyanyian Malique Too Phat hangat di corong radio, suara enak penyanyi wanita yang tidak diketahui identitinya menjadi persoalan. Waktu itu, nama Najwa cukup asing bagi penggemar muzik tempatan. Itu kisah lebih setahun lalu.

Namun hari ini, menyebut nama Najwa, terus terbayang sosok tubuh mungil seorang gadis manis yang tidak pernah kering dengan senyuman. Najwa Muhyiddin bukan asing lagi, tetapi suara lunak dengan gaya soulnya selalu dirindui.

Lantas apabila dia muncul dengan album debut penuh miliknya sendiri, ia membangkit keterujaan di hati peminatnya. Diberi nama Innocent Soul, ia adalah sebuah album Inggeris penuh daripadanya.

Saat melancarkan album tersebut di Restoran Ecoba, Kuala Lumpur, baru-baru ini, air matanya tidak dapat ditahan daripada mengalir apabila disoal mengenai perjalanan proses penerbitan album tersebut.

Bukan gimik, bukan juga drama tetapi air matanya itu sebagai tanda betapa besar pengorbanan dan keinginannya untuk melahirkan sebuah album.

“Lama rasanya untuk saya hasilkan album ini. Selepas penat lelah dan berulang-alik di antara Jakarta, Indonesia dan Kuala Lumpur, akhirnya impian saya untuk melahirkan sebuah album tercapai,” tuturnya sambil menguntum senyuman.

Katanya, dia meminati muzik sejak dari kecil dan tidak dapat melupakan persembahan pentas pertamanya untuk hari penyampaian hadiah di sekolah rendah ketika dia berusia tujuh tahun.

Bagaimanapun, demi jaminan masa hadapan dan kepuasan hati ayah bonda, dia terlebih dahulu bergelar siswazah jurusan Kejuruteraan Elektronik yang ditimba di Melbourne, Australia.

Selepas dua tahun menimba pengalaman di bumi kanggaru itu, sekembali Najwa ke tanah air, dia tahu yang dia perlu lakukan sesuatu demi minat dan cintanya terhadap muzik.

Dek kerana minat, dua tahun juga masa dihabiskan di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), Kuala Lumpur, sambil dia mencari peluang dan ruang untuk muncul dengan hasil karyanya sendiri.


TIMBA ilmu. Najwa mengakui dia masih dalam proses pembelajaran untuk menghasilkan lagu-lagu Melayu.


“Saya bekerjasama dengan Maliq & D'Essentials, band jazz popular di Indonesia untuk lahirkan album ini. April tahun lepas saya terbang ke Jakarta dan berbincang dengan mereka.

“Selepas itu, sekitar bulan Ramadan saya terbang ke Jakarta, untuk proses rakaman. Syukur, kerana mereka memahami apa yang saya mahukan untuk album ini,” balasnya gadis berusia 25 tahun itu lagi.

Apabila disoal mengapa terbang sehingga ke Jakarta untuk merakamkan album, jawab Najwa, dia bukan meragui kemampuan penerbit album di Malaysia, tetapi ketika dia ingin menerbitkan album genre neo soul itu, dia tidak berjumpa dengan orang yang sesuai di Malaysia.

“Genre muzik yang saya pilih, tidak berapa popular di Malaysia, saya tidak mahu ambil risiko sebab itu saya ambil keputusan untuk bekerjasama dengan Maliq & D'Essentials.

“Genre muzik kami lebih kurang sama, jadi bekerjasama dengan mereka akan memberikan nafas yang sama terhadap muzik saya tetapi dengan identiti saya sendiri,” katanya yang merupakan peminat band tersebut.

Tidak perkecil lagu Melayu

Sepuluh buah lagu yang terkandung dalam album sulungnya itu semuanya dalam bahasa Inggeris, namun jauh di sudut hatinya, satu hari nanti dia ingin menghasilkan sebuah album Melayu.

Sungguhpun begitu, Najwa sedar di mana tahap kemampuannya untuk menulis lagu puitis dalam bahasa Melayu.

“Saya akui, saya lebih selasa menulis lagu dalam bahasa Inggeris, sebelum ini saya ada terfikir untuk tulis lagu dalam bahasa Melayu tetapi sedar yang saya tidak berapa bagus untuk menulis sebuah lagu yang puitis dalam bahasa Melayu.

“Buat masa ini saya masih dalam proses belajar membikin lagu, Insya’allah mungkin untuk album akan datang saya akan memuatkan lagu bahasa Melayu,” jelasnya.

Tambah Najwa, album Innocent Soul terlalu istimewa buat dirinya kerana hampir kesemua lagu yang dimuatkan dalam album itu merupakan koleksi peribadinya. Ia ibarat sebuah diari yang dibikinnya sendiri sejak berusia 16 tahun.

“Bukan 100 peratus lagu dalam album ini berdasarkan pengalaman yang betul kerana ada juga berdasarkan pengalaman orang lain,” tuturnya mengenai album yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.