Bandaraya Alor Setar Makin Naik Airnya.. Banjir Makin Buruk

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah bertambah buruk dengan jumlah mereka yang dipindahkan kini meningkat kepada 39,785 orang dan hampir semua kawasan di bandar raya ini kini dinaiki air.

Sehingga 4 petang ini, kira-kira 80 peratus kawasan di bandar raya Alor Setar telah digenangi air. Jumlah penduduk yang dipindahkan di daerah Kota Setar dan Pendang menunjukkan peningkatan manakala Kubang Pasu masih sama dan daerah Padang Terap serta Pokok Sena menunjukkan penurunan.
Di Kota Setar, jumlah mangsa banjir kini 16,376 orang daripada 4,047 keluarga, di Pendang 244 orang daripada 62 keluarga, di Kubang Pasu 21,111 orang membabitkan 5,740 keluarga, di Padang Terap berkurangan kepada 354 orang daripada 92 keluarga dan daerah Pokok Sena 1,738 orang melibatkan 307 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sehingga kini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, lapan di Padang Terap, 34 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Beliau berkata, keadaan di Padang Terap semakin pulih apabila 303 orang daripada 112 keluarga dibenar pulang ke rumah masing-masing manakala di Pokok Sena 29 orang daripada enam keluarga dibenarkan pulang.

Tinjauan di sekitar bandar raya Alor Setar mendapati sudah 80 peratus kawasan digenangi air manakala banyak jalan tidak dapat dilalui kenderaan ringan berikutan air yang naik secara mendadak.
Beberapa premis penting termasuk bangunan kerajaan, agensi kerajaan dan pusat membeli-belah telah mula dimasuki air menyebabkan kedai terbabit terpaksa menutup operasi lebih awal.

Beberapa kenderaan ringan yang cuba melalui jalan yang terjejas tersangkut menyebabkan kenderaan lain terpaksa mencari jalan alternatif.

Tinjauan di sekitar pekan Jitra di daerah Kubang Pasu pula mendapati keadaan banjir semakin surut dan ada kawasan yang telah pulih sepenuhnya, namun mangsa masih belum boleh pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan terlalu kotor.

Akibat banjir yang melanda sejak 1 November lalu, daerah berkenaan juga terputus hubungan dengan daerah Kota Setar apabila jalan-jalan utama iaitu jalan Hutan Kampung-Alor Setar dan Kepala Batas-Alor Setar ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Sementara itu, tujuh jalan di Kota Setar ditutup untuk semua kenderaan manakala 21 jalan di tiga daerah ditutup kepada kenderaan ringan.

Jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah di Kota Setar iaitu Jalan Hutan Kampung-Kepala batas; Jalan Langgar-Simpang Hutan Kampung; Jalan Sultanah; Jalan Alor Setar-Kangar; Jalan Alor Setar-Kepala Batas; Jalan Alor Janggus-Gunung Keriang; dan Jalan Gunung Keriang-Sungai Korok.

Jalan-jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan ialah di Kota Setar iaitu Jalan Kuala Sungai-Sungai Baru; Jalan Alor Setar-Kepala Batas; Jalan Tambang Badak; Jalan Stadium; Lebuhraya Sultanah Bahiyah; Jalan Langgar-Pendang; Jalan Alor Setar-Pokok Sena; Jalan Alor Setar-Pokok Sena-Kuala Nerang; Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang; dan Jalan Suka Menanti-Gunung Keriang.

Di daerah Kubang Pasu pula ialah Jalan Titi Besi-Kampung Pasu; Jalan Jitra-Kelubi; Jalan Tunjang-Kampung Teluk Malik-Kampung Naga; Jalan Jitra-Sungai Korok; Jalan Kepala Batas-Kemuning; Jalan Tanah Merah-Wang Tepus; Jalan Batu 9 Jitra-Alor Rambai-Kepala Batas dan Jalan Alor Mengkudu-Tok Keling.

Di Pokok Sena ialah Jalan Lengkuas-Kampung Derang; Batu 11 Jalan Pokok Sena; dan Jalan Bukit Payung-Kampung Cina.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.