YB Datuk Syed Sobri, Adun Kuala Nerang Buat Laporan Polis Terhadap Malaysian Insider

ALOR SETAR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita, Malaysian Insider berhubung artikel yang dikeluarkan portal itu pada 20 Oktober lalu yang mengatakan beliau muflis.

Syed Sobri berkata tindakan mahkamah akan dibuat memandangkan portal itu sengaja ingin memalukan dan mencalarkan imej beliau selaku Adun Kuala Nerang dan Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap.

"Semua laporan itu tidak benar kerana saya tidak muflis seperti yang digembar-gemburkan selama ini dan segala hutang syarikat saya, bersama peguam yang dilantik menguruskannya dengan baik dan membayar hutang berkenaan secara beransur-ansur.

"Saya rasa mereka (Malaysia Insider) sengaja membuat cerita rekaan bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya selaku wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Ini kerana tidak ada sebarang keputusan mahkamah dibuat yang mengatakan saya ini muflis dan saya tidak tahu dari mana sumber mereka perolehi sehingga boleh mengeluarkan artikel sebegini rupa. "Berkemungkinan ada motif tidak baik daripada pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menghebahkan isu ini terutamanya ketika berlangsungnya perhimpunan Agung Umno baru-baru ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu, satu laporan polis akan dibuat bersama peguamnya hari ini terhadap Malaysian Insider bagi membersihkan nama dan imej beliau selaku wakil rakyat BN.

Beliau berkata Malaysian Insider perlu dikenakan tindakan mahkamah kerana portal berkenaan adalah sebuah portal yang sengaja menabur fitnah dan membuat kekacauan terhadap rakyat dan sekaligus mencalarkan maruah Umno dan BN.

Pada 20 Oktober lalu, Malaysian Insider menyatakan Syed Sobri diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu ekoran syarikatnya gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM700,000 dan sekaligus membuka ruang kepada pilihan raya kecil DUN berkenaan.

Syed Sobri berkata tunggakan caruman KWSP syarikatnya hanya RM150,000 dan bukannya RM700,000 seperti yang dinayatakan oleh portal yang tidak bertanggungjawab itu dan beliau telah membayarnya sebanyak RM50,000.

Mengenai isu akan timbul isu pilihan raya kecil di DUN itu, beliau berkata soal isu pilihan raya tidak akan timbul kerana beliau tidak muflis dan akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat kawasan itu dengan memberi khidmat bakti kepada rakyat seperti biasa.

"Saya selaku wakil rakyat akan menyahut seruan dan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Adun berkhidmat dengan baik terhadap rakyat bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Umno dan sekaligus memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

Mengenai laporan yang menyatakan beliau dihalang masuk untuk mendengar ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan Agung Umno yang berlangsung 21 Okt lalu ekoran status beliau yang muflis, Syed Sobri berkata ia juga tidak benar kerana beliau turut menyertai perhimpunan itu dan mendengar ucapan perasmian presiden pada hari berkenaan.

"Saya hadir pada persidangan Umno pada 21 Oktober lalu dan tidak menyertainya pada 22 dan 23 Oktober disebabkan saya menghadiri majlis konvokesyen saya di Universiti Teknologi Malaysia, untuk menerima Diploma Pengurusan Eksekutif Pentadbiran Pejabat. Saya telah maklumkan kepada Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Jadi perwakilan dan wartawan Malaysian Insider yang tidak nampak saya hadir pada waktu itu terus membuat kenyataan yang saya muflis dan tidak dibenarkan masuk ke perhimpunan Agung Umno itu," katanya. -BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.