Majlis Memperingati 25 Tahun Memali Akan Diadakan 19 - 21 November Depan


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Sempena 25 tahun Peristiwa Memali, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah akan menganjurkan Majlis Memperingati 25 Tahun Memali yang akan dilangsungkan di lokasi peristiwa sejarah tersebut pada 19 hingga 21 November depan.

Program yang diadakan secara anjuran bersama dengan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling itu sekaligus akan menjadi himpunan Pemuda PAS Kedah selain akan turut disertai wakil Pemuda PAS dari negeri-negeri lain.

Aturcara hari pertama akan bermula dengan lawatan dan tahlil di Makam Syuhada, Parit Panjang sebelum semua peserta akan berkonvoi ke Kampung Memali.



Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyempurnakan perasmian program pada malam tersebut.

Keesokannya, 20 November, para pemuda akan berkumpul di perkarangan rumah As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya untuk mendengar pengkisahan peristiwa Memali yang akan disampaikan oleh beberapa tokoh kejadian tersebut termasuk isteri as-Syahid, Ustazah Solehah Husin.

Manakala penutup program pada malam terakhir akan disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut akan mengisi acara sepanjang program tiga hari tersebut ialah majlis tahlil, pameran Peristiwa Memali, Karnival HESA, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan percuma, kaunter daftar pemilih, persembahan pentomen dan jamuan sempena Aidil Adha.

Ceramah yang diadakan sempena majlis itu pula akan menampilkan Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar dan Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.