10 Penyokong Bolasepak Kedah Ditahan

ALOR SETAR: Selain mercun dan bunga api, air daun ketum dan batang besi adalah antara benda larangan yang cuba dibawa masuk ke dalam Stadium Darulaman di sini pada perlawanan bola sepak peringkat separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Kedah dengan Kelantan malam tadi.

Sehubungan itu, polis menahan 10 orang yang membawa benda larangan berkenaan, termasuk empat pelajar sekolah dan seorang pelajar institusi pengajian tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab, berkata mereka yang ditahan berumur antara 13 hingga 33 tahun.

"Lima yang ditahan kerana mereka membawa mercun bola, seorang membawa bunga api, dua membawa air daun ketum, seorang membawa besi 'spring baton' dan seorang lagi kerana memaki polis," katanya kepada pemberita di Stadium Darulaman.

Beliau berkata, semua suspek ditahan semasa polis membuat pemeriksaan di pintu masuk stadium sebelum perlawanan.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Racun 1952," katanya.

Seramai 1,000 orang pegawai dan anggota polis membuat kawalan sepanjang perlawanan yang dihadiri kira-kira 30,000 penonton untuk menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.