Gerai di Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu kelihatan dikerumuni ramai pengunjung termasuk peminat yang mahu bergambar bersama Zizie selain membeli barangan jualannya seperti busana muslimah, gaun serta aksesori wanita.
Zizie berkata, idea untuk berniaga pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini timbul kerana minatnya yang suka berniaga di samping mendapat sokongan penuh daripada suami tersayang.
"Kakak ipar saya berniaga di Uptown. Rakan perniagaan dia (kakak ipar) pernah terbabit dengan buka gerai jualan di Perhimpunan Umno. Dia tanya saya tak mahu buka gerai di sini (PWTC) dan apabila tanya suami, beliau beri sepenuh sokongan, itu yang timbulnya idea untuk berniaga di sini," katanya.
Zizie menegaskan bahawa beliau tidak mendapat sebarang layanan istimewa untuk mendapat unit ruang niaga berkenaan.
Terdapat sebanyak 320 tapak ruang niaga disediakan sempena perhimpunan agung kali ini.
"Ingin saya tegaskan yang saya dapat ruang niaga ini sama seperti orang lain dan tidak timbul menggunakan jalan mudah (Bung Mokhtar) untuk dapatkan ruang niaga ini," katanya.
Zizie berkata, setiap hari beliau akan turun padang dan memantau hasil jualannya, sekali gus mengambil kesempatan untuk merapatkan hubungan dengan peminat.
"Saya akan sentiasa berada di situ dan kalau tiada pun mungkin saya pergi makan atau ada janji temu tetapi saya akan berada di situ setiap hari sehinggalah habis Perhimpunan Agung UMNO ini dari pagi hingga malam," katanya.
Zizie berkata, jika sambutan jualannya pada perhimpunan kali ini memberangsangkan, beliau berminat untuk terus berniaga pada perhimpunan akan datang.
- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment