Di Baling - Ada Insan Zalim Buang Bayi Dalam Semak

BAYI SIAPA?... Bayi lelaki seberat 3 kg, ditemui dibuang dalam semak berdekatan Taska Mawadah Kampung Titi Teduri, Pulai pada pukul 10 pagi ini, sedang berada dalam ambulan untuk dihantar ke hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan akibat jangkitan kuman. Kelihatan, Pegawai Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling Faizal Mohd Zabil sedang mendapatkan maklumat daripada jururawat mengenai bayi berkenaan. Foto BERNAMA


BALING: “Saya terkejut apabila dimaklumkan pekerja ada kesan darah pada daun dan objek bergerak berhampiran pagar,” kata Siti Hawa Osman, 45, yang menemui seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di tepi pagar Taska Mawaddah, Titi Teduri, Pulai, dekat sini, semalam.

Siti Hawa yang juga pemilik taska berkenaan, berkata dia dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 10 pagi ketika kanak-kanak di taska itu melakukan rutin pagi.

“Saya terkejut apabila melihat seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir dibalut tuala basah dan masih bernyawa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, ketika ditemui, tali pusat bayi terbabit sudah dipotong dan terdapat kesan luka pada badannya dipercayai terkena duri dan ranting pokok di tepi pagar pusat asuhan kanak-kanak itu

Katanya, seorang pekerja melalui tepi pagar sebelum ternampak kesan darah pada daun dan objek bergerak di tepi pagar itu.

“Setiap jam 7 pagi, saya menerima kanak-kanak yang dihantar hingga dijemput ibu bapa mereka pada jam 6 petang manakala pintu pagar berkunci dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang dua tahun mengusahakan taska itu, dia tidak pernah mengalami peristiwa seperti itu dan percaya bayi terbabit ditinggalkan di kawasan itu sebaik dilahirkan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan, berkata polis menerima aduan pengusaha taska berkenaan kira-kira jam 10 pagi sebelum anggotanya bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, bayi lelaki seberat tiga kilogram itu dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, kira-kira jam 4 petang semalam dan dilaporkan stabil.

“Kami masih mengesan suspek yang bertanggungjawab dan hingga kini tidak ada tangkapan dibuat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.