Kes Bunuh Datuk Sosilawati: Lokasi Baru Kes Pembunuhan Akan Digali Dalam Proses Siasatan.

Kelihatan sebuah jentera jentolak dibawa masuk oleh anggota polis ke ladang milik suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain bagi membantu siasatan di Ladang Gandong, Tanjung Sepat semalam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 26 Sept — Selepas dua minggu tempat pembunuhan jutawan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dikesan, polis dijangka akan menjalankan kerja kerja menggali ladang milik suspek utama kes ini, pagi ini bagi mendapatkan bukti terbaru — tempat sesetengah mangsa ditanam.

Dua lokasi baru dipercayai merupakan tempat dua mayat yang dikaitkan dengan suspek utama kes bunuh Sosilawati dan tiga lelaki lain ditanam, ditemui di kawasan Ladang Gadong, Banting semalam.

Mengikut laporan, kedua-dua lokasi itu terletak di kawasan ladang milik suspek utama terbabit, di mana satu daripadanya terletak di bahagian dalam manakala satu lagi di bahagian luar.

Laporan itu menyebut, polis mendapat petunjuk berhubung lokasi berkenaan hasil maklumat daripada empat suspek yang dibawa masuk ke dalam ladang itu kira-kira pukul 4 petang semalam.

Sebuah jentolak dibawa masuk kira-kira pukul 4.30 petang di kawasan ladang itu dipercayai digunakan untuk kerja-kerja mengesan lokasi mayat tersebut.

Bagaimanapun, operasi mengorek dua lokasi itu hanya akan dilakukan pagi ini berikutan kesemua kenderaaan forensik, MPV polis dan sebuah van yang membawa suspek, keluar semula dari ladang itu kira-kira pukul 6.45 petang.

Malah semalam, tiga suspek kes pembunuhan kejam Sosilawati Lawiya ditahan semula bagi membantu siasatan polis berhubung pembunuhan seorang ahli perniagaan dari India.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek hari ini.

Kehilangan ahli perniagaan berkenaan, Allal Kathan Muthuraja, turut dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, apabila dia dilapor hilang selepas dijemput kedua-dua peguam itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lepas.

Rabu lepas, polis mengesahkan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang sejak awal tahun ini, telah dibunuh.

Isteri mangsa, S.Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lepas, dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat kelmarin.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu yang dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong.

Suspek utama kes ini turut dikaitkan dengan kes kehilangan beberapa individu lain termasuk seorang kontraktor Shafik Abdullah, 37, dari Kedah serta seorang rakannya.

Kesemua mereka dilaporkan hilang selepas berjumpa dengan suspek utama itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.