Bade Nafi Kahwin Lagi : "Demi Allah, Sehingga Saat Ini Hanya Erma Fatima Isteri Saya .....


Kasih sayang antara Erma dan suaminya, Bade sentiasa mekar biarpun selepas 20 tahun menjadi suami isteri.


SUDAH lebih dua dekad mereka hidup sebagai suami isteri. Selama tempoh itu, pasangan selebriti ini hidup dalam kerukunan.

Namun, adat menjadi orang ternama, umpat fitnah masyarakat harus ditelan.

Selama menjadi suami isteri,Fatimah Rahmad, 42, atau mesra disapa sebagai Erma Fatima dan suaminya, sutradara dan jurugambar tersohor, Badaruddin Azmi atau Bade, 44, jarang memberi temu bual kepada pihak media.

Apa yang uniknya mengenai suami isteri popular ini juga ialah rumah tangga mereka sentiasa harmoni. Tidak pernah ada berita mengenai dakwaan keretakan mahligai yang dibina atas dasar persahabatan dan kemudian cinta.

Prinsip hidup Erma dan Bade sangat mudah, saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

Keharmonian rumah tangga mereke diserikan lagi dengan kehadiran lima orang anak; Mohd. Shamiel E'quan, 18, Ahmad Arir, 16, Ahmad Aifin, 15, Citra, 9, dan Nurain, 6.

Biarpun kelima-lima permata hati anak angkat, namun kasih sayang dan belaian Erma dan Bade pada mereka tiada tolok bandingnya.

Dalam leka melayari bahtera rumah tangga yang tenang, tiba-tiba ada khabar yang sampai ke telinga media.

Bade dilaporkan berkahwin satu lagi. Dalam erti kata mudah, Erma dimadukan. Khabar angin itu mendakwa, Bade berkahwin lagi di luar pengetahuan Erma kerana inginkan zuriat sendiri.

Sejak khabar angin itu tersebar, ramai wartawan yang menghubungi Erma dan Bade untuk merakamkan foto mereka sekeluarga. Seperti dijangka, pasangan suami isteri ini mengelak untuk ditemuramah secara berdepan.

Bagaimanapun, hasrat Hits direalisasikan mereka pada sambutan Ramadan kelima pada 15 Ogos lalu.

Di kediaman mereka di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor, Hits mengatur sesi fotografi raya bersama kelurga pasangan itu.

Kesempatan dan peluang pada hari itu diambil penulis untuk bertanya sendiri pada Bade apakah benar dia berkahwin lain.

"Demi Allah, sehingga saat ini hanya Erma Fatima isteri saya yang sah. Saya tidak pernah berkahwin lain selain daripada Erma," itu pengakuan Bade kepada penulis.

Bade enggan menjadi lelaki penakut. Andai benar dia teringin untuk memadukan Erma, dia tidak perlu melakukannya secara diam-diam.

Sebaliknya, Bade sendiri yang akan memaklumkan hasrat itu kepada isterinya kerana sejak dari dulu lagi Erma katanya, mengizinkan dia menambah bilangan isteri.

"Bukan itu sahaja, malah Erma sendiri berjanji akan meminangkan gadis atau wanita idaman saya itu kerana dia memang tidak pernah menghalang jika saya mahu berkahwin lagi.

"Naluri saya tidak ke situ. Hati, kasih dan sayang saya hanya untuk seorang wanita bernama Erma Fatima serta lima orang anak kami," luah Bade dalam nada yang sangat jujur.

Jangan suka buat gosip

Bade mengakui, sejak berkahwin, dia dan Erma jarang kelihatan bersama khususnya pada majlis-majlis hiburan.

Namun, keadaan itu ujar Bade, tidak sewajarnya menjadi umpan atau modal kepada orang ramai mengandaikan hubungan mereka retak.

"Bagi kami dalam sebuah rumah tangga selain kasih sayang sikap saling percaya dan persefahaman adalah penting dalam memelihara keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga," Bade mengulangi prinsip dia dan Erma sekali lagi.

Bagi Erma yang mencuri dengar perbualan penulis dan Bade pula tiba-tiba menyampuk, tidak ada sebab untuk dia menghalang suaminya untuk berkahwin lain.

"Sejak dulu Erma beritahu Bade jika dia mahu kahwin lagi, beritahu Erma dan Erma akan meminangkan untuk dia," Erma meluahkan kesediaan dia menjadi wakil Bade untuk kesekian kalinya.

Sebagai manusia yang waras akal fikirannya, Erma sangat realistik bahawa dia bukanlah seorang isteri yang sempurna.

Dengan kerjayanya sebagai pembikin filem, Erma sedar masanya banyak dihabiskan di lokasi sehingga ada ketika dia tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab seorang isteri dengan sempurna.

"Erma harap apabila Bade kahwin lagi satu, isteri barunya mampu menjaga makan dan minum Bade sempurna mungkin.

"Bukan Erma tidak menjaga makan minum dan pakai Bade selama ini, cuma kadangkala tanggungjawab di lokasi membuatkan Erma melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa," kata Erma mengakui kelemahan dirinya.

Erma bagaimanapun bersuyukur, suami serta rakan-rakan dia dan Bade sedia maklum yang dia merupakan seorang wanita yang suka bekerja.

"Sesibuk mana pun, Erma tidak pernah lupa pada suami dan anak-anak. Bagi Erma, merekalah syurga dan buah hati Erma, sebab itu demi kebahagiaan Bade dan keluarga, Erma sanggup lakukan apa sahaja walaupun hidup bermadu!" ujarnya sambil merenung suami tercinta.

Pada masa yang sama, Erma amat bersyukur kerana Bade seorang suami yang sangat memahami kerjayanya dan tidak mengongkong minat isteri.

Sering 'diceraikan'

Bercerita mengenai kehidupan mereka sebagai selebriti, Erma dan Bade sebenarnya sudah lali hidup dalam dunia glamor.

Namun mereka tidak pula kesal dengan apa yang dilalui termasuk kisah tidak masuk akal kononnya mereka bercerai!

"Mungkin ramai yang tidak tahu, sebenarnya di awal perkahwinan kami sudah tersebar cerita kononnya kami bercerai. Dah banyak kali kami 'diceraikan' oleh mereka yang suka bergosip.

"Lebih 20 tahun dalam industri ini malas untuk Erma fikirkan semua itu. Bahkan ia sedikit pun tidak membebankan Erma kerana Erma amat mengenali suami Erma," kata Erma sambil memandang penuh kasih Bade yang duduk di sisinya.

Erma dan Bade dinikahkan pada 30 November 1990 dan bersanding sebulan selepas tarikh itu.

Walaupun perkahwinan mereka awalnya bersandarkan hubungan persahabatan kerana sebelum itu masing-masing ada pasangan sendiri, namun rumah tangga mereka kekal bahagia sehingga hari ini.

Sepanjang perkahwinan, memang jarang hadir bersama dalam sesuatu majlis kerana kekangan waktu dan tugas.

Namun itu bukanlah alasan kepada suami isteri yang sama kerjaya ini melupakan perasaan kasih sayang antara mereka berdua.

Sebaliknya kesibukan masing-masing menambahkan lagi perasaan kasih dan sayang di hati mereka.

Menurut Erma, apabila ada wartawan menelefonnya pada Julai lalu dan bertanya tentang gosip itu, dia sedikitpun tidak marah sebenarnya.

"Mulanya Erma ketawa sebab Erma tak fikir yang Bade akan buat begitu. Tetapi setelah ketawa itu reda, Erma beritahu mereka Bade tidak mungkin kahwin sembunyi-sembunyi sebab Erma reda dan terima apa juga keputusannya jika dia mahu berkahwin lagi.

"Dalam Islam sendiri membenarkan lelaki yang mampu dari segi zahir dan batin untuk berkahwin lebih daripada satu, kenapa Erma mahu menghalang hukum agama?" tegasnya.

Dan apabila Erma bertanya Bade hal itu, Bade dengan tegas dan jujur menafikannya.

"Apa lagi yang Erma boleh buat? Mengenali Bade selama 20 tahun sejak hidup sebagai suami isteri, Erma tahu Bade tidak suka bercakap bohong.

"Dunia Bade hanya rumah dan lokasi penggambaran. Bade bukan seorang suami yang kaki kelentong, bukanlah memuji tetapi Erma sangat mengenali seorang yang bernama Badaruddin Azmi!" kata Erma.

Bagi pasangan bahagia itu, mereka sendiri tidak dapat mencari jawapan pasti apakah tujuan sebenar mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gosip berkenaan.

"Erma tidak tahu siapa yang menyebarkan gosip ini tetapi jika mereka yang berniat jahat untuk memisahkan kasih sayang kami berdua kerana gosip ini, mereka salah!" Erma menyambung perbualan.

Bade pula ketika ditanya apakah ketiadaan zuriat sendiri membebankan perasaannya, sambil ketawa besar dan memandang isteri tersayang, berkata:

"Lima orang anak yang kami miliki ini adalah pengikat kasih sayang kami berdua. Kenapa setelah sekian lama kami hidup bahagia, isu itu yang mereka bangkitkan?

"Melihat mereka membesar di depan mata membuatkan saya cukup bahagia menjadi seorang suami dan ayah. Saya tidak pernah bosan duduk di rumah bersama mereka, walaupun Erma sibuk di lokasi," kata Bade lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.