Tahniah Kerajaan Kedah - Setelah 40 Tahun Kami Tunggu Akhirnya Keperitan Kami Tertunai


KUALA KETIL: Selepas lebih 40 tahun menunggu, tujuh keluarga di Kampung Bukit Tunggal, Sungai Darak, di sini akhirnya mendapat kemudahan air bersih apabila projek bekalan air paip yang dilaksanakan di kampung itu siap bulan lalu.

Ini membolehkan penduduk yang kebanyakannya penoreh getah dan bekerja kilang, menjalani kehidupan harian yang lebih selesa apabila bekalan air paip disalurkan terus ke rumah mereka dan tidak perlu lagi menggunakan air perigi.
Selain tidak perlu lagi mengangkut air dari pergi, kemudahan air paip itu juga membolehkan penduduk menggunakan air yang terjamin dari segi kualiti dan kebersihannya berbanding penggunaan air telaga.

Penduduk, Abd Jalil Musa, 42, berkata dia sekeluarga bersyukur berikutan pelaksanaan projek terbabit yang amat dinantikan akhir menjadi kenyataan setelah sekian lama menggunakan air perigi.

Katanya, walaupun selama ini berasa bimbang menggunakan air perigi terutama apabila berlaku pelbagai kes penyakit berbahaya berpunca daripada sumber air kurang bersih, penduduk kampung tiada pilihan melainkan terpaksa menggunakannya.

Beliau berkata, walaupun perlu mengeluarkan sedikit belanja untuk bayaran memasang meter iaitu RM360 seunit, apa yang penting baginya ialah air yang dibekalkan itu terjamin dari segi kebersihan.

“Kami bersyukur dan seronok kerana apabila sanak saudara berkumpul pada Aidilfitri nanti, kami tidak lagi perlu mengambil air di perigi. Bekalan air paip ini memang sudah lama kami nantikan dan kami sudah banyak kali mengemukakan permohonan sebelum ini," kata bapa kepada empat anak itu.

Tinjauan Berita Harian mendapati perigi yang digunakan penduduk kampung berkenaan selama ini seakan tidak diselenggara dengan baik hingga persekitarannya ditumbuhi semak samun, selain mesin pengepam digunakan untuk menyedut air sudah berkarat.

Selain itu, ada antara telaga digali di kawasan lembah bertujuan mendapatkan sumber air, tetapi kawasan persekitarannya tidak dibersihkan yang berkemungkinan boleh menjurus berlaku pencemaran air dalam perigi itu.

Penduduk lain, Sobri Hussin, 42, berkata selama ini dia menggunakan dua perigi yang digali di kawasan kebun getah kira-kira 100 meter dari rumahnya, manakala satu lagi digali berhampiran rumah.

"Dulu, kami sekeluarga menghadapi pelbagai masalah menggunakan air telaga, terutama air keruh apabila hujan dan kering ketika musim kemarau,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.