KUALA LUMPUR 29 Ogos - Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diharap dapat menyelesaikan kemelut dalaman persatuan seni itu sebaliknya berakhir dengan adegan pergaduhan umpama dalam filem.
AGM yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa dibatalkan berikutan pergaduhan yang berpunca daripada bantahan sekumpulan 50 orang yang didakwa Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez sebagai orang luar.
Seorang kakitangan Karyawan, Ahmad Abdullah berkata, dia ditumbuk oleh seorang daripada kumpulan terbabit sehingga jatuh terduduk.
Menurut Ahmad, pada mulanya dia hanya ingin menghalang kumpulan itu daripada menyerang Freddie namun tindakannya itu membuatkan kumpulan terbabit naik angin sehingga berlaku pergaduhan.
"Tumbukan itu membuatkan saya jatuh terduduk. Kumpulan seramai 50 orang berbadan sasa itu bertindak di luar kawalan sehingga berlaku kekecohan sebelum mesyuarat itu berlangsung," katanya ketika ditemui di pekarangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Hulu Klang dekat sini hari ini.
Freddie turut menjadi mangsa apabila dia ditampar oleh salah seorang daripada kumpulan terbabit.
Bagaimanapun, Freddie enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu sebaliknya hanya menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai samseng.
Sebelum bermulanya mesyuarat tahunan yang dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang itu, Karyawan terlebih dahulu membuat laporan polis kerana mendapat maklumat awal mengatakan akan berlaku kekecohan.
Menurut Freddie, laporan itu akan dijadikan sebagai rujukan dan kemungkinan membuat laporan susulan berkaitan insiden itu.
"Ketika mesyuarat ingin dimulakan, kami meminta agar kumpulan tersebut keluar dari dewan kerana mereka bukannya ahli Karyawan tetapi mereka enggan sebaliknya menimbulkan kekecohan," ujarnya.
Freddie kemudian terus meninggalkan tempat kejadian sebelum datang semula dua jam selepas itu untuk memberi kenyataan kepada wartawan yang hadir.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya setakat ini hanya menerima satu laporan tentang berlaku tolak-menolak antara ahli Karyawan yang dibuat petang tadi.
"Kita masih menunggu laporan daripada pihak lain termasuk Datuk Freddie yang difahamkan akan membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati secepat mungkin.
"Selepas menerima laporan berkenaan baru kita akan mula melakukan siasatan," katanya ketika dihubungi malam ini.
0 comments:
Post a Comment