Gambar2 Hari Ini: Saman Kerajaan Kelantan Terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Dagang KL


Kerajaan negeri Kelantan, dengan ketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, telah memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara, Petronas, untuk menuntut royalti minyak yang tidak dibayar sejak 2004.

Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

Nik Aziz yang diiringi oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yaakob dan exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan, menyaksikan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Dagang Kuala Lumpur pagi ini. Turut hadir ialah bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramlli.

Peguam kanan Tommy Thomas mewakili kerajaan Kelantan.

Notis sepanjang 47 halaman itu antara lainnya menuntut:

1. Pelaksanaan spesifik perjanjian petroleum Kelantan.

2. Siasatan dijalankan ke atas Petronas untuk membuat pendedahan penuh berhubung fakta berkaitan bayaran tunai yang perlu dibayar kepada Kelantan.

3. Perintah supaya semua tunggakan bayaran tunai dilunaskan dalam tempoh sebulan daripada perintah mahkamah.

4. Gantirugi beserta kos dan faedah ke atas jumlah yang diperintahkan dibayar.

5. Relief lain dan juga kebebasan untuk memohon.

Anggota polis bertindak mengawal keadaan di kawasan komplek mahkamah sejak awal pagi ini.

Pertikaian berlarutan

Isu royalti minyak yang berlanjutan selama ini, timbul semula sewaktu kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai tahun lalu.

Ini diikuti dengan tindakan kerajaan pusat pula menyiarkan beberapa dalam akhbar berbahasa
Melayu, menyatakan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak kerana ia telah menerima "wang ehsan" sebanyak RM20 juta.

Hujah berkenaan bagaimanapun disangkal oleh bekas naib presiden Umno dan juga bekas pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkannya sebagai "menghina kebijaksanaan" rakyat Kelantan.

Saman pemula hari ini merupakan rentetan daripada tindakan kerajaan pimpinan PAS Kelantan pada Mac lalu melantik Tengku Razaleigh sebagai wakil perunding negeri itu untuk menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat.

Kelantan didakwa berhak menerima bayaran royalti minyak antara RM850 juta hingga RM1bilion untuk pengeluaran di pelantar minyak yang terletak sejauh 170 kilometer dari perairan Kelantan.

Husam sebelum ini berkata bayaran tersebut perlu dibuat mengikut Akta Petroleum 1974 yang membolehkan negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum.

Selepas sahaja saman itu difailkan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama hampir kesemua ahli exco kerajaan negeri serta seramai 200 penyokong mengadakan sembayang hajat di Masjid Wilayah Persekutuan berhampiran.

Dalam kenyataan ringkas kepada media selepas itu, Nik Aziz berkata beliau sebagai ketua kerajaan negeri perlu menjaga kehormatan harta kerajaan negeri Kelantan

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.