Terikat Dengan Undang2 UK: SPRM kemuka soalan menerusi peguam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini mengemukakan soalan kepada P Balasubramaniam melalui peguamnya, untuk dijawab oleh penyiasat persendirian itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali, berkata soalan itu sudah dikirimkan SPRM melalui kurier pada petang tadi kepada peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu.

Katanya, Americk bersetuju untuk memberi jawapan kepada SPRM secepat mungkin.

"Kita sudah menghubungi Americk dan mencadangkan mengemukakan soalan kepada Balasubramaniam dalam bentuk akuan bersumpah atau afidavit.

"Peguam Balasubramaniam itu melalui e-mel semalam, dan bersetuju untuk mengemukakan soalan tersebut kepada dia (Balasubramaniam) dan turut bersetuju ia dihantar melalui kurier," katanya di Putrajaya.

Mengulas tempoh bagi Balasubramaniam untuk memberikan jawapannya, Mustafar berkata, jawapan itu akan diberikan secepat mungkin.

SPRM sebelum ini memutuskan tidak akan menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull, berkata sebaliknya, Balasubramaniam akan diminta menjawab soalan yang akan dikemukakan menerusi peguamnya dalam bentuk akuan bersumpah atau afidavit.

Semalam, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari menyokong tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menggesa SPRM menyiasat segera siapa yang menaja Balasubramaniam.

Anuar berkata, sudah tiba masa untuk SPRM membuat siasatan terperinci berikutan selok belok kisah Balasubramaniam seakan menyerupai kisah pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang turut menjadi perhatian SPRM sebelum ini.

Rabu lalu, Zahrain menggesa SPRM menyiasat penaja kehidupan Balasubramaniam di London dan mendapatkan bukti lengkap terdahulu mengenai isu tajaan tersebut dan seterusnya memanggil Balasubramaniam pulang bagi mendapatkan keterangan lanjut.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.