Kempen Mansuh Akta Mesin Cetak & Penerbitan: Hentikan Segera Keangkuhan Menteri

Kebebasan media adalah antara ciri utama sistem demokrasi selain elemen lain seperti kebebasan berucap, proses pilihan raya bebas dan adil, kebebasan berorganisasi, pemerintahan berasaskan suara majoriti, hak minoriti dihormati, kewujudan pembangkang yang berkesan, kehadiran NGO dan kumpulan pendesak yang berautonomi, dan kebebasan badan kehakiman. Media yang bebas dan berintegriti boleh menjadi "The Fouth Estate" yang berupaya mencorakkan pandangan umum dan bertindak sebagai "semak dan imbang" terutama dalam pemerintahan yang dikuasai oleh suatu parti yang dominan.

Namun, elit politik yang seringkali menyalahgunakan kuasa, korup dan mengkhianati amanah rakyat cukup bimbang dengan peranan media bebas. Mereka gentar jika pelbagai penyelewengan dapat dibongkar, sekali gus menimbulkan kesedaran sivil yang meluas, serta boleh menggugat survival regim yang memerintah. Justeru, pelbagai akta drakonian dikuatkuasakan, bertujuan menekan media dan menghalang rakyat daripada mendapat maklumat yang benar. Fenomena globalisasi dan langit terbuka yang menyaksikan kepantasan pengaliran maklumat merentasi apa jua sempadan fizikal rupanya tidak berjaya memaksa pemerintah semi-autoritarian itu untuk melonggarkan - apatah lagi membatalkan - peraturan yang bukan sahaja tidak demokratik, kuno malah "karut-marut".

Ketika gelombang pendemokrasian dilihat mendapat reaksi positif di negara jiran, Indonesia, selepas kejatuhan Suharto lebih 10 tahun lalu, Malaysia yang juga pernah menghadapi gegaran hampir sama (tuntutan reformasi 1998) langsung tidak menunjukkan perubahan membanggakan. Meskipun kadar urbanisasi dan pertumbuhan kelas menengah (satu petunjuk jelas yang sepatutnya membuka lebih luas ruang sivil dan perdebatan awam) lebih pantas di sini, namun pemerintah UMNO-BN tetap bersikap bebal, mengamalkan budaya lapuk menutup telinga daripada mendengar suara kritikan atau teguran.

Pandangan berbeda daripada masyarakat sivil dihadapi dengan penuh prejudis, ditanggapi dengan bermacam-macam label negatif dan jahat. Hujah dan rasional langsung tidak dihormati. Pemerintah lebih selesa memilih pendekatan keras menolak perbincangan.

Ketika Indonesia, bermula di bawah era Habibie dan Gus Dur, melakukan perubahan drastik memulihkan demokrasi seperti pemansuhan dwifungsi Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dan undang-undang yang menekan kebebasan, selepas 12 tahun Malaysia tidak menyentuh pun sebarang akta rimba.

Baru-baru ini kerajaan memaklumkan akan membentangkan beberapa pindaan terhadap tujuh akta berkenaan, antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Seksyen 27 Akta Polis 1960 berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit, namun ia belum menjamin ruang untuk rakyat berpatisipasi dalam hal-hal politik diperluaskan. Gesaan agar ISA dihapuskan pernah disuarakan dalam satu perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Apabila timbul isu permit penerbitan Suara Keadilan tidak disambung (diharamkan) ekoran dakwaannya bahawa "Felda bankrap", saya merasakan sudah sampai masanya peraturan mengenai kebebasan media, iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 diberikan perhatian istimewa. Tentunya usaha ini tidak mudah dan memerlukan penggemblengan dan dokongan luar biasa.

Kempen pemansuhan akta, yang mengandungi pelbagai syarat-syarat permit yang "karut-marut, tidak masuk akal dan tidak cerdik" itu semakin relevan dan kena pada masanya apabila hayat penerbitan Harakah juga turut terancam di bawah peraturan sama. Selama ini operasi penerbitan dan pengedaran terhad akhbar-akhbar milik parti bukan-BN itu hanya dibenarkan atas ehsan Menteri Dalam Negeri, yang sering dijawat oleh menteri kanan.

Jika beberapa tuntutan massa seperti proses pilihan raya yang bersih-bebas-adil, dan pemansuhan ISA serta PPSMI dapat menggegarkan Kuala Lumpur, saya kira lobi menguburkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan harus dimulakan dengan pembentukan gabungan NGO yang prihatin dengan kebebasan bersuara dan hak asasi. Sebelum ditamatkan perkhidmatan melalui satu rombakan kabinet oleh Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar pada Ogos 2009 berkata kementeriannya bercadang memansuhkan akta tersebut kerana ia sudah tidak relevan dengan perkembangan teknologi dan juga tidak disenangi ramai. "Rakyat tidak suka akta itu, syarikat-syarikat media pun tidak suka akta itu," kata Syed Hamid. Sayangnya cadangan beliau hilang lenyap begitu sahaja dan tidak sempat pun mencetuskan perbincangan mengenainya.

Beberapa tokoh media, misalnya A Samad Said, Pak Said Zahari dan Haji Subky Abdul Latiff dilihat boleh menjadi sumber inspirasi buat gerakan pemansuhan akta berkenaan. Rakyat harus didedahkan dengan kewujudan peraturan "karut-marut yang membodohkan" itu, yang bercanggah sama sekali dengan perkembangan canggih dunia maklumat. Segala-galanya terletak di bawah budi bicara mutlak menteri, sama ada mahu meluluskan, menggantung atau membatalkan sesuatu permit (seksyen 6), tanpa perlu memberikan sebarang alasan.

Akta yang dipinda pada 1998 itu dengan bangganya, melalui seksyen 13A dan 13B, mengisytiharkan bahawa keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah, malah "tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar berkenaan dengan permohonannya untuk mendapatkan permit atau berhubungan dengan pembatalan atau penggantungan permit".

Itu belum dibahas lagi syarat-syarat permit organ parti yang tidak munasabah langsung, misalnya larangan menjual kepada bukan ahli parti, hanya boleh dijual di premis parti dan tidak boleh dijual di tempat awam. Kandungan akhbar berkenaan juga hanya dihadkan kepada aktiviti dan kenyataan pemimpin parti tersebut sahaja. Seolah-olah PAS dan KeADILAN itu suatu organisasi bawah tanah, atau menteri merasakan ahli-ahli parti berkenaan hanya boleh dibilang dengan jari dan tinggal di gua terpencil!

Pilihan Raya Umum Ke-13 memang kritikal bukan saja buat UMNO-BN, malah kepada Pakatan Rakyat. Najib, yang dilihat dekat dengan Mahathir Mohamad, mungkin mengambil pendekatan sama seperti mentornya itu kepada seteru politik. Meskipun kini ada pilihan lain seperti munculnya kuasa siber, namun Pakatan Rakyat tidak boleh memandang mudah sekatan kepada penyebaran maklumat secara tradisional ini. Selain menuntut kreativiti dan inovasi hebat mencari peluang baru dan memanfaatkan potensi di ruang maya, kempen memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tidak boleh dilengahkan.

*Ahmad Lutfi Othman ialah Editor Harakah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.