Bekas mufti Johor: Mufti Wilayah tidak wajar haramkan ESQ

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Barisan Panel Syariah ESQ Leadership Center mempersoalkan tindakan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang mengharamkan program motivasi kendalian syarikat itu berkuat kuasa bulan lepas.

Salah seorang anggota panel itu, Datuk Noh Gadut mempertahankan tiada unsur penyelewengan dalam program syarikat itu kerana barisan Panel Syariah yang ditubuhkan sejak September lalu berfungsi untuk memantau dan menasihati perjalanan ESQ Leadership Center dari semasa ke semasa.

“Sebagai seorang bekas mufti perlu ada etika disiplin yang harus dilaksanakan untuk menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

“Ada beberapa etika yang sepatutnya menjadi panduan bagi seorang mufti ataupun ulama terutamanya ketika bercakap,” kata beliau yang juga bekas mufti Johor.

Pandangan itu juga selari dengan kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang dikeluarkan di Ipoh hari ini.
Kata beliau program itu tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan.

Beliau berkata program itu juga tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.
Menurutnya muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lepas memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah.

Bekas mufti Johor seterusnya menegaskan seorang ulama perlu bertindak dalam memberikan dakwah melalui bimbingan dan nasihat bukannya menghukum sebagaimana disaksikan dalam kes ESQ sekarang.

“Tugas dakwah bukan untuk menghukum, jadi sebagai ulama kita perlu berhati-hati ketika bercakap.

“Jadi dakwah adalah untuk membimbing dan menasihati bukan menghukum. Selain itu seorang ulama tidak boleh ada sifat hasad dengki kerana ia boleh membawa kepada berlakunya fitah,” katanya ketika sidang media ESQ Leadership Center di sini.

Fatwa pengharaman terhadap pelatihan ESQ dikeluarkan oleh Wan Zahidi yang mencakupi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau merupakan satu daripada 14 mufti yang ada di negara ini.

Wan Zahidi yang mengeluarkan fatwa bulan lalu bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh syarikat berkenaan dan apa-apa ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.

Sehubungan itu Noh menegaskan, seorang ulama perlu mencari keadilan dan kebenaran bukannya mencari populariti.

“Kita mesti memberikan khidmat nasihat dengan baik malah perlu berusaha untuk merapatkan jurang hubungan.
“Selain itu, sebagai ulama kita perlu tegas dalam mencari keadilan dan bukannya mahu mencari populoriti.
“Ini kerana padangan yang disampaikan melibatkan orang awam, jadi ulama perlu mengelakkan daripada bercakap perkara-perkara yang boleh menimbulkan masalah,” katanya.

Selain Noh, panel syariah tersebut turut terdiri daripada Datuk Mustafa Abdul Rahman (bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Tan Sri Abdul Kader Talip (bekas mufti Wilayah Persekutuan), Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim (bekas mufti Kedah) dan Dr Adnan Mohamed Yusoff (Dekan Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunah, Universiti Sains Islam Malaysia).

Noh berkata segala keputusan yang hendak dibuat sepatutnya perlu melalui perbincangan meja bulat bukan bersendirian.

“Ini kerana pandangan dua orang lebih baik daripada seorang dan pandangan tiga orang lebih baik daripada dua orang.
“Jadi kita tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian. Selain itu perlu juga ada keterbukaan iaitu perlu menghormati orang lain.

“Jangan bertelagah, nanti kita berpecah dan pihak yang berkepentingan pasti akan mengambil kesempatan,” katanya.
Syarikat berkenaan mengendalikan latihan modal insan, dengan menggunakan kaedah yang melibatkan intelektual, emosional dan spiritual.

Program itu disediakan dengan aktif di beberapa negara di Asia dan Eropah, termasuk di Malaysia sejak 2006.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan sentiasa memantau program-program motivasi yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam bagi mengelak berlakunya kerosakan akidah.

Jamil menjelaskan jabatan-jabatan berkaitan termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jakim sedang menyiasat perkara itu meskipun penguatkuasaannya tidak melibatkan negeri-negeri lain.

Sementara itu, Mustafa berkata panel tersebut manyangkal dakwaan bahawa wujud unsur penyelewengan dan kesesatan dalam program motivasi syarikat itu.

Beliau berkata sehingga kini Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan tidak menghalang pelaksanaan ESQ dan program tersebut berjalan seperti biasa di 13 negeri selain Wilayah Persekutuan.

“Panel syariah ESQ juga menghadiri dan memantau program ESQ dari semasa ke semasa.

“Malah pihak panel turut menyemak buku utama ESQ dan selepas meneliti panel mendapati ia tidak membawa ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Oleh yang demikian kami barisan panel menyokong sepenuhnya perjalanan progra

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.