KUALA LUMPUR, 25 Julai — Datuk Abu Kassim Mohamed, yang mulai mengemudi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia enam bulan lepas, percaya keyakinan masyarakat terhadap SPRM akan datang dengan sendiri selari dengan usaha agensi itu memerangi rasuah.
Bagi beliau, keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti suruhanjaya itu menjadi teras kejayaan SPRM dan ia akan melipatgandakan usaha menjejaki pesalah rasuah.
“Memang tidak dinafikan bahawa masih ada yang mempertikaikan kredibiliti SPRM, namun kini kita dapati kritikan negatif daripada orang ramai telah berkurangan malah mereka kini mula percaya pada suruhanjaya ini,” katanya kepada Bernama.
Mengenai dakwaan kononnya SPRM tidak serius menangani rasuah dan hanya mengaitkan ikan bilis dan bukan jerung, Abu Kassim berkata SPRM tidak pernah menutup sebelah mata.
“Siapapun yang buat, rasuah tetap rasuah. Mereka adalah musuh nombor satu negara dan kita sentiasa memburu dan menahan jerung selain konco mereka,” katanya.
Abu Kassim berkata orang ramai boleh merujuk kepada pangkalan data di laman web SPRM yang menyenaraikan pesalah rasuah. Selain memburu mereka yang menerima rasuah, SPRM juga menahan 194 individu yang menyogok penjawat awam dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Beliau berkata terdapat petanda penjawat awam kini lebih tegas dan berani menolak pujukan serta godaan pemberi rasuah hasil daripada peningkatan tahap integriti. Dalam tempoh yang sama, hanya 140 penjawat awam ditahan kerana kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.
“Orang awam yang menawarkan rasuah kini lebih ramai ditahan daripada penjawat awam yang menerima rasuah, kemungkinan kerana peningkatan integriti dan kesedaran menjauhi rasuah,” katanya.
Ditanya sama ada SPRM terasa tertekan kerana dikehendaki mempercepatkan penyelesaian kes dalam tempoh setahun, Abu Kassim berkata SPRM akan menyahut cabaran itu dengan meningkatkan ilmu integriti dan kesiapsiagaan dalam menuju matlamat rasuah sifar.
Berdasarkan temubual dengan beberapa orang awam, terdapat kesimpulan bahawa usaha menghakis persepsi negatif dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap SPRM bukan terletak pada suruhanjaya itu sahaja.
Pemandu teksi, Norazuan Azizi, 32, yang ditemui ketika menunggu penumpang di Sentul, berkata beliau sukar untuk mempercayai badan-badan penguatkuasa kerana laporan akhbar menyebut ada anggota penguatkuasa seperti polis sendiri melakukan rasuah.
“Sepatutnya mereka bagi contoh yang baik kepada masyarakat. Rakyat pun mungkin tawar hati untuk percaya mereka,” katanya.
Beliau mencadangkan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap anggota penguatkuasa sama ada SPRM atau polis dan yang lain sekiranya terbukti mereka melakukan rasuah untuk dijadikan pengajaran kepada anggota lain.
Mohammad Zulfakar Mahadi, 24, seorang juruteknik di Petaling Jaya, berkata kredibiliti SPRM akan dipandang tinggi dan telus sekiranya suruhanjaya itu mengambil tindakan terhadap perasuah tanpa mengira status termasuk pegawai, orang kenamaan atau mahupun ahli politik.
“Jangan hanya tangkap ikan bilis yang hanya buat rasuah dengan jumlah yang kecil tetapi banyakkanlah siasatan dan tangkapan ke atas mereka yang berjawatan tinggi, yang ada potensi lakukan rasuah contohnya dari kalangan yang berpangkat ‘Datuk’ atau pegawai-pegawai atasan,” katanya.
Annas Hakime Zakaria, 29, mahu melihat SPRM mengambil tindakan terhadap semua pihak, sama ada yang menyokong kerajaan atau pembangkang.
“Dengan cara ini tidak akan timbullah persepsi masyarakat bahawa SPRM hanya tangkap mereka yang datang dari parti pembangkang dan sembunyikan kesalahan parti lain, barulah ini dikatakan telus,” kata Annas, kontraktor dari Shah Alam.
Beliau mencadangkan agar SPRM dipantau oleh satu badan bebas yang tidak mewakili mana-mana parti.
— Bernama
0 comments:
Post a Comment